PETALING JAYA: Pembekal Perkhidmatan Perniagaan Global (GBS) dipacu teknologi, Daythree Digital Berhad (Daythree Digital) memeterai Perjanjian Taja Jamin dengan M&A Securities Sdn. Bhd. (M&A Securities) untuk penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Securities).
Tawaran awam permulaan (IPO) itu melibatkan terbitan awam sebanyak 110.4 juta saham baharu, mewakili 23 peratus daripada modal saham yang diperbesarkan dan tawaran untuk jualan sebanyak 12 juta saham sedia ada kepada pelabur terpilih melalui penempatan persendirian.
Daripada 110.4 juta saham baharu itu, 24.0 juta saham akan disediakan kepada rakyat Malaysia melalui pengundian, 12.0 juta saham untuk pengarah dan pekerja kumpulan Digital Daythree yang layak di bawah Peruntukan Borang Merah Jambu.
Sementara itu, baki 74.4 juta saham baharu diperuntukkan untuk penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.
Menurut perjanjian taja jamin itu, M&A Securities akan menaja jamin sejumlah 36 juta saham baharu yang disediakan kepada rakyat Malaysia dan Peruntukan Borang Merah Jambu.
Pengarah Urusan Daythree Digital, Raymond Davadass berkata, pelaksanaan IPO tersebut akan membolehkan syarikat memanfaatkan pasaran modal ekuiti untuk memanfaatkan peluang pertumbuhan masa hadapan.
Katanya, industri GBS dijangka mencecah RM23.4 bilion pada 2022 dan diramalkan berkembang kepada RM31.7 bilion pada 2027, mewakili kadar pertumbuhan tahunan terkompaun sebanyak 6.3 peratus dalam tempoh ramalan.
“Sebahagian daripada hasil IPO ini, kami merancang untuk merekrut pakar industri dan menubuhkan pasukan transformasi digital yang lebih besar yang berperanan untuk terus meningkatkan alatan digital kami yang dibangunkan secara dalaman untuk memperoleh peluang pertumbuhan,” katanya.
Tambahnya, hasil daripada IPO juga akan digunakan untuk membiayai sebahagian daripada ruang kerja tambahan yang diperlukan untuk pangkalan pelanggannya yang semakin meningkat.
“Ia juga akan digunakan untuk pembesaran ibu pejabatnya untuk menampung bilangan pekerja yang semakin bertambah serta untuk menyediakan kemudahan pelbagai guna untuk latihan dalaman dan mesyuarat.
“Selain itu, hasil juga akan digunakan untuk perbelanjaan modal untuk infrastruktur rangkaian, perkakasan teknologi maklumat (IT) dan perisian, aktiviti penjenamaan, pemasaran dan promosi, keperluan modal kerja dan untuk membiayai anggaran perbelanjaan penyenaraian,” ujarnya.
Daythree Digital menyasarkan untuk disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Securities menjelang Julai 2023.
M&A Securities ialah Penasihat, Penaja, Penaja Jamin dan Ejen Penempatan untuk pelaksanaan IPO tersebut. – UTUSAN