Dahulu pengutip sampah, kini jutawan hartanah - Utusan Malaysia

Dahulu pengutip sampah, kini jutawan hartanah

MOHAMMAD Azlan (depan sekali) bergambar bersama usahawan-usahawan hartanah yang berjaya selepas mendapat bimbangannya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NAMA Datuk Mohammad Azlan Abdullah @ Ali, 36, bukan nama asing sebagai seorang ahli perniagaan hartanah yang berjaya di Terengganu selepas melalui fasa kehidupan yang sukar bekerja sebagai pengutip sampah di sebuah syarikat kontraktor pembersihan di Kelantan pada tahun 2005.

Pengarah Urusan Kumpulan Haji Land Berhad itu yang tidak mempunyai kelulusan akademik tinggi dan berasal daripada keluarga miskin tegar, namun tetap menyimpan cita-cita tinggi untuk mengubah kehidupannya menjadi lebih baik dengan menceburi bidang hartanah.

Kehidupan anak muda tersebut kini telah berubah 360 darjah setelah bergelar sebagai jutawan hartanah.

Pada peringkat awal, beliau yang merupakan anak ke-10 daripada 16 beradik memulakan kerjaya baharu itu dengan bekerja sebagai sebagai pegawai pemasaran di sebuah syarikat hartanah milik seorang bekas gurunya pada tahun 2010.

Menurutnya, beliau telah berjaya menjual tanah lot dengan nilai kira-kira RM100 juta dalam tempoh 11 tahun.

“Saya menjadikan kemiskinan sebagai motivasi dan menjadikan kekayaan sebagai inspirasi untuk berjaya dalam hidup,’ katanya ketika ditemui di Besut, Terengganu, baru-baru ini.

Anak kelahiran Besut itu berkata, dalam tempoh 11 tahun itu, beliau juga berhadapan dengan pelbagai cabaran gentir termasuk menjadi mangsa tohmahan dan fitnah.

“Saya menganggap cabaran itu sebagai pembakar semangat untuk menempah kejayaan yang lebih besar pada masa hadapan,” ujarnya.

Mohammad Azlan memberitahu, pada masa ini, beliau merancang melebarkan perniagaan dengan melibatkan diri dalam bidang pembinaan.

Menurutnya, beliau bersama beberapa rakan kongsi merancang untuk membangunkan projek perumahan melibatkan sebanyak 50 unit rumah meliputi rumah teres, rumah berkembar dan banglo pada tahun hadapan.

Katanya, projek perumahan itu dibangunkan akan dijual pada harga mampu milik untuk memberi peluang kepada lebih ramai golongan berpendapatan rendah memiliki rumah sendiri.

Malah tambahnya, beliau juga akan memperkenalkan sistem bayaran balik pinjaman yang tidak membebankan kepada pembeli rumah tersebut.

“Projek perumahan terbaharu itu akan dibangunkan di kawasan seluas 40 hektar,” katanya.

Selain itu, katanya, syarikatnya juga merancang untuk membangunkan projek perumahan di Kuala Selangor, Selangor pada tahun 2025.

Jelasnya, kawasan pembinaan projek perumahan itu yang strategik juga telah dikenal pasti.

Sementara itu, Mohammad Azlan berkata, beliau dikurniakan darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk oleh Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Bilah Shah pada 8 Disember 2022.

Beliau menerima kurniaan tersebut pada Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran dan Pingat-pingat Negeri Pahang Darul Makmur di Balairung Seri Istana Abu Bakar, Pekan sempena memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang Ke-63 Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang.

“Pengurniaan baginda itu akan menjadi penyuntik semangat baharu untuk terus berjaya dalam perniagaan yang diceburi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya