AISB hasilkan inovasi produk berasaskan mempelam harumanis - Utusan Malaysia

AISB hasilkan inovasi produk berasaskan mempelam harumanis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH:
Mempelam harumanis mempunyai keistimewaan yang tersendiri malah buah ini juga kebiasaannya hanya boleh didapati antara bulan April sehingga Jun pada setiap tahun.

Buah ini dapat ditanam dengan subur di negeri Perlis berikutan faktor cuaca dan kesuburan tanah yang turut mendorong kepada pengeluaran hasil lebih berkualiti.

Bau yang terdapat pada buah mempelam ini adalah sangat harum berbanding mangga-mangga lain malah ia turut mempunyai isi tebal berwarna kekuningan dan tidak terlalu berair.

Keunikan buah mempelam harumanis ini juga telah mendorong sebuah syarikat bagi menghasilkan inovasi pelbagai produk berasaskan buah ikonik tersebut.

Bagi menyediakan pelbagai pilihan produk berasaskan harumanis ini, Athanliz Innovations Sdn Bhd (AISB) yang merupakan syarikat pemula dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) telah mengorak langkah secara aktif dalam melaksanakan pembangunan dan penyelidikan (R&D) sejak tiga tahun lalu.

Pengarah Urusan AISB, Dr. Athifah Najwani Shahidan dalam temu bual bersama wartawan Utusan Malaysia, ASYRAF MUHAMMAD baru-baru ini telah berkongsikan mengenai pelbagai inovasi produk makanan berasaskan mempelam harumanis yang dibangunkan syarikat berkenaan.

UTUSAN: Apakah yang mendorong syarikat AISB untuk mengambil pendekatan bagi melakukan inovasi dalam penghasilan produk makanan berasaskan mempelam harumanis?

ATHIFAH: Kami mendapat cetusan untuk menghasilkan produk-produk makanan berasaskan buah mempelam harumanis ini memandangkan ia mempunyai musim yang pendek iaitu hanya sekitar tiga bulan pada setiap tahun. Sekiranya tiada produk inovasi dihasilkan, pengunjung yang datang ke Perlis pastinya tidak berkesempatan untuk menikmati dan merasai keunikan yang terdapat pada buah ini. Melalui penghasilan produk-produk makanan ini, kami masih mengekalkan rasa dan bau buah berkenaan malah penghasilannya juga turut diolah ke bentuk yang dapat mempunyai jangka hayat lebih panjang.

UTUSAN: Apakah jenis-jenis produk makanan berasaskan harumanis yang telah dihasilkan oleh syarikat AISB?

ATHIFAH: Setakat ini kami telah menghasilkan tiga rangkaian produk berasaskan buah mempelam harumanis. Yang pertama adalah melibatkan produk kesihatan dan kecantikan di bawah jenama Lindifera. Penghasilan produk kecantikan berasaskan harumanis ini adalah meliputi beauty yogurt, skrub, lipbalm dan sabun muka. Bagi rangkaian makanan dan minuman pula, kami menghasilkan beberapa produk antaranya seperti aiskrim, kek lapis, sambal ikan bilis, pau, coklat putih dan pelbagai lagi di bawah jenama Mafera. Manakala bagi rangkaian produk kraftangan dan cenderahati berasaskan harumanis, kami telah memamsarkan di bawah jenama Afera. Ketiga-tiga jenama produk ini diambil bersempena nama saintifik buah mempelam harumanis iaitu Mangifera Indica Linn.

UTUSAN: Adakah usaha inovasi ini mampu mengubah tradisi sektor pertanian harumanis?

ATHIFAH: Ya, sudah semestinya kerana usaha ini dapat menggalakkan petani untuk mula menghasilkan produk berasaskan buah mempelam harumanis kerana telah wujud platform pemasaran dan bimbingan di bawah penyelidik Universiti Teknologi Mara (UiTM). Selain itu, usaha inovasi ini juga sekaligus dapat mendidik pengusaha untuk tidak terlalu bergantung kepada penjualan buah segar semata-mata.

UTUSAN: Adakah inovasi penghasilan produk berasaskan harumanis dihasilkan AISB ini mendapat bantuan penyelidikan daripada mana-mana institusi pengajian tinggi (IPT) atau pihak lain?

ATHIFAH: Setakat ini, kami tidak memperoleh sebarang geran penyelidikan namun begitu syarikat ini sedang berusaha bagi mendapatkannya dalam usaha untuk mengembangkan lagi inovasi produk-produk makanan berasaskan harumanis ini. Kami hanya mendapat geran industri penghasilan produk baru dari Kayangan Agro Farm dan geran Parlimen Kangar bagi tujuan khidmat komuniti.

UTUSAN: Selain produk makanan, apakah lagi inovasi yang dihasilkan oleh AISB?

ATHIFAH: Seperti saya maklumkan tadi, syarikat ini pernah tampil dengan menghasilkan produk kecantikan berasaskan harumanis meliputi beauty yogurt, skrub, lipbalm dan sabun muka yang dikenali sebagai Lindifera. Kami turut menghasilkan inovasi produk kraftangan dengan menggunakan tanaman harumanis. Di samping itu, kita cuba mempelbagaikan lagi perkhidmatan dengan turut menawarkan bimbingan keusahawanan kepada golongan muda yang berminat bagi memulakan perniagaan melalui mentorship sistem.

UTUSAN: Setakat ini, produk makanan berasaskan harumanis ini telah dipasarkan di mana? Dan sasaran pasaran selepas ini?

ATHIFAH: Buat masa ini, produk kecantikan kami iaitu Lindifera baru sahaja menjadi produk pertama UiTM yang berjaya menembusi pasaran runcit rangkaian AEON Co. (M) Bhd. (AEON) di seluruh Malaysia. Kami telah berjaya memasuki tujuh rangkaian AEON bagi memasarkan produk ini. Selain itu, kami turut menawarkan pembelian secara dalam talian menerusi website kami iaitu www.lindifera.com.
Bagi Mafera dan Afera, pihak syarikat amat mengalu-alukan penglibatan agen untuk berdaftar. Sasaran pasaran kami adalah untuk memasuki ke semua cawangan UiTM dan juga rangkaian kedai serbaneka di seluruh negara.

UTUSAN: Bagaimana syarikat Athanliz melihat potensi terhadap inovasi produk-produk berasaskan buah harumanis?

ATHIFAH: Potensi yang ditunjukkan menerusi penghasilan inovasi produk berasaskan harumanis ini adalah sangat cerah. Ini kerana harumanis hanya boleh didapati di negeri Perlis berikutan faktor kesesuaian tanah dan cuaca. Malah buah ini juga telah diangkat sebagai buah ikonik negeri ini. Dari segi keharuman dan rasanya memang sangat berbeza daripada mangga lain. Berikutan itulah potensi yang terdapat pada buah ini sangat besar malah ia turut mendapat permintaan sangat tinggi pada setiap musim.

UTUSAN: Apakah perancangan lain AISB bagi penghasilkan produk berasakan buah harumanis selepas ini?

ATHIFAH: Syarikat kami sememangnya cuba mengembangkan lagi pasaran harumanis menerusi inovasi-inovasi produk baharu yang dihasilkan. Malah kita juga cuba memanfaat buah ini dengan sebaiknya berikutan ia hanya boleh didapati dalam tempoh tiga bulan pada setiap tahun. Buat masa ini, kita sedang berusaha ke arah untuk menginovasikan ‘by-product’ atau waste management dari bahan buangan harumanis seperti kulit, daun dan bijinya.

UTUSAN: Cabaran dalam penghasilan produk baharu berasaskan harumanis?

ATHIFAH: Cabaran yang paling terbesar bagi penghasilan produk inovasi ini ialah untuk mendapatkan bekalan. Ini adalah kerana bekalan buah mempelam harumanis adalah sangat terhad dan sukar untuk didapati. Kami memerlukan bekalan buah yang mencukupi bagi melaksanakan R&D dan inovasi dalam penghasilan produk-produk baharu berasaskan buah ini untuk diketengahkan kepada orang ramai.

UTUSAN: Harapan pihak syarikat menerusi penghasilan produk-produk berasaskan harumanis ini?

ATHIFAH: Permintaan buah mempelam harumanis sememangnya sangat tinggi pada setiap tahun dan ia amat membantu dalam meransangkan ekonomi pekebun tempatan. Berikutan itu, kita cuba untuk untuk membantu meningkatkan ekonomi penduduk tempatan dan negeri ini untuk beralih kepada penjualan berskala besar produk-produk inovasi berasaskan harumanis ini. Langkah ini sekali gus turut membantu dalam mengurangkan kebergantungan terhadap penjualan buah segar semata-mata. Malah ia juga dapat memberi lebihan pilihan buat pengguna untuk menikmati buah ikonik ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya