Vios dan Axia baharu selamat, tidak dipanggil semula - Utusan Malaysia

Vios dan Axia baharu selamat, tidak dipanggil semula

Vios baharu kini dilengkapi dengan sentuhan wajah hadapan menerusi bampar baharu dan tampil dengan gril lebih segar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: UMW Toyota Motor mengumumkan penjualan Toyota Vios serba baharu akan diteruskan kerana model tersebut tiada masalah dengan standard keselamatan dan kualiti kenderaan.

Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ravindran K. berkata, pihaknya memberi jaminan kepada para pelanggan yang telah menempah dan berminat dengan Toyota Vios serba baharu bahawa model tersebut mematuhi semua peraturan keselamatan dan tiada kompromi terhadap kualitinya.

Jelasnya, ujian seterusnya telah mengesahkan kenderaan itu memenuhi pensijilan UN-R95 dan tidak ada keperluan untuk Toyota Vios ditarik balik kerana jualan kenderaan itu berterusan tanpa gangguan.

“Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan yang dialami pelanggan dan kami ingin memberi jaminan keselamatan dan kualiti kenderaan kami.

“Komitmen kami terhadap keselamatan pelanggan sentiasa dan kekal yang paling utama,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan yang dikeluarkan oleh Daihatsu Co Ltd. pada 28 April 2023 yang mengetengahkan prosedur ketidakteraturan pada ujian empat model, salah satunya termasuk Toyota Vios serba baharu.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad turut menegaskan bahawa pensijilan UN-R95 yang diberikan kepada Perodua Axia model baharu tetap sah dan diperakui walaupun Daihatsu membuat pendedahan mengenai ‘ketidakaturan prosedur’ ujian.

“Ini bermakna, Perodua Axia Baharu adalah selamat untuk dipandu dan tiada panggilan semula akan dibuat oleh Perodua dan kami juga tidak akan menghentikan penghantaran kenderaan model baharu ini kepada pelanggan yang kami hargai,” ujarnya.

Kelmarin, Reuters melaporkan kira-kira 11,800 Perodua Axia berkemungkinan terjejas dengan insiden pemalsuan ujian keselamatan oleh Daihatsu yang didakwa telah memalsukan sebahagian daripada ujian keselamatan pelanggaran sisi pintu untuk lebih 88,000 kereta kecil, yang kebanyakannya dijual di bawah jenama Toyota.

Dikatakan, kemasan pintu pada kenderaan yang terjejas telah diubah suai dengan “takuk” untuk meminimumkan risiko dalam ujian bahagian dalam pintu boleh pecah dengan bucu tajam dan menyebabkan kecederaan kepada penumpang apabila beg udara sisi digunakan dalam kemalangan.

Model yang terjejas dilaporkan termasuk Perodua Axia yang dikeluarkan di Malaysia bermula dari Februari, dan Toyota Yaris Ativ S diperbuat di Thailand dari Ogos lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya