Triumph Tiger GT PRO 1200 - Motosikal dwiguna terkini - Utusan Malaysia

Triumph Tiger GT PRO 1200 – Motosikal dwiguna terkini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOTOSIKAL jenama Triumph, jelas diketahui secara umum membabitkan tiga perkara iaitu jentera yang dihasilkan dari Bri­tain, sering menampilkan jentera 3 silinder dan variasi model Tiger adalah dikhaskan untuk versi motosikal dwiguna.

Triumph Tiger dikategorikan dalam kumpulan motosikal dwiguna premium atau dual-purpose elite yang selalunya menampilkan tiga jenama utama yang sering bersaing dalam pasaran motosikal dwguna berkuasa tinggi. Triumph, BMW dan KTM sering memperkenalkan model-model terkini de­ngan penambahan teknologi terkini. Walaupun terdapat banyak jenama lain yang menghasilkan model-model seumpamanya, namun ketiga-tiga jenama ini lebih bersungguh-sungguh untuk menguasai pasaran.

REKA BENTUK
Walau terdapat penambahan dan pembaharuan pada beberapa bahagian, namun rupa bentuk asas sesebuah motosikal dwiguna ini hampir sama ke­seluruhannya.

Ketinggian kelegaan permukaan, saiz roda yang besar dan posisi penunggangan yang menegak merupakan ciri-ciri utama motosikal genre ini. Untuk model 2022 ini, Triumph GT PRO ini telah melalui proses pengurangan berat keseluruhan daripada pemilihan bahan keluli yang dijadikan casis, lengan ayun malah sistem pacuan syafnya juga telah melalui proses pengurangan berat. Ini bertujuan untuk membolehkan GT PRO ini mempunyai kuasa yang lebih efisien ketika penunggangan.

Triumph GT PRO 1200 ini di­tampilkan sebagai motosikal yang menumpukan kepada ciri penunggangan jarak jauh, samada penggunaan di lebuh raya atau pun jalan-jalan lama atau jalan persekutuan. Sungguhpun berkebolehan untuk melalui laluan-laluan tanpa tar atau tidak rata, namun penggunaan roda jenis ‘cast aluminium’ atau bahasa mudahnya ialah ‘sport rims’, membayangkan jenis laluan yang lebih sesuai mengikut penciptaannya.

Rekaannya yang turut ‘menjemput’ pemiliknya memasang kotak atau beg barangan sisi dan belakang, yang begitu menepati imej dan keperluan penggunanya.

PENUNGGANGAN
Seperti yang dikatakan di awal artikel ini, jentera ini ialah motosikal dwiguna atau pun dual-purpose, maka sudah tentu ianya menjanjikan kestabilan penunggangan terutama ketika melalui selekoh-selekoh. Ini dapat dicapai dengan sistem suspensi yang disertakan jenis SHOWA, yang boleh dilaras secara elektronik dan separa automatik. Ini bermaksud, kekenyalan, penye­rapan hentakan dan kestabilan pergerakan suspensi depan dan suspensi tunggal belakang, boleh dikawal dengan hanya melaras mod penunggangan pada meter TFT yang cukup berinformasi dan berwarna.

Sebagai contoh, sekiranya anda memilih untuk melaras sistem atau mod penunggangan waktu hujan, maka, komputer jentera akan secara automatik menukar tahap suspensi yang sesuai untuk penunggangan hujan. Begitu juga dengan sistem breknya yang turut dilaras secara automatik mengikut pelarasan mod-mod penunggangan.

Begitu pun, bagi yang lebih perlukan pelarasan mengikut citarasa sendiri, anda boleh juga melaras sendiri tahap-tahap ke­kenyalan suspensi, cengkaman roda dan tujahan kuasa serta kekuatan dan kecekapan sistem brek ABS.
Untuk sesebuah jentera dwiguna ini, keselesaan juga turut menjadi faktor utama. Perlarasan skrin pelindung angin boleh dilakukan secara manual dan dengan mudah, sama ada meninggikan atau merendahkan tahap skrin tersebut. Ini membantu penunggangnya di kala melawan terpaan angin dari hadapan dan juga aruhan angin yang berpusar naik ke atas dan berpusar dibelakang helmet.

Posisi penunggangan memainkan peranan penting dalam keselesaan untuk penunggang dan pembonceng. Rekaan tangki bahan api yang lebih tirus membolehkan penunggangnya untuk meletakkan kaki dengan lebih selesa pada permukaan. Posisi tempat pemijak kaki juga sangat penting untuk keselesaan penunggangan samada pada waktu yang lama atau ketika menempuh jalan dalam kota yang sesak, atau laluan-laluan pelbagai bentuk.

Sebagai makluman, versi Triumph Tiger kali ini, sama ada model GT Pro atau Rally Explorer dilengkapi dengan enjin tiga silinder sebaris 1,160 cc yang menghasilkan kuasa 150 PS @ 9,000 rpm, serta daya kilas 130 Nm @ 7,000 rpm. Enjin tiga silinder ini dikatakan menghasilkan kuasa tujahan yang lebih baik berbanding enjin berkembar sama ada selari atau jenis V. Enjin tiga silinder menjanjikan kuasa tujahan yang lebih baik pada kadar RPM yang rendah dan curahan kuasa yang lebih tinggi pada julat RPM yang tinggi.

KESIMPULAN
Untuk motosikal dalam kate­gori ini, pada pengalaman saya, Triumph terletak dalam kelompok pertengahan, sekiranya di­bandingkan dengan tiga jenama utama motosikal seumpama ini. Kedudukan di pertengahan ini merangkumi kesemua kategori, sama ada berat keseluruhan, kestabilan pengunggangan dan juga kuasa enjin.

Jika diambil sifat BMW GS dengan enjin jenis ‘BOXER’nya yang berat sehinggalah penunggangnya memulas pendikit untuk membolehkan motosikal ini ‘berubah sifat.’ Diambil kira pula keupayaan kilasan dan pengendalian yang ‘sepantas kilat’ beserta tujahan kuasa yang tinggi dari jentera KTM Adventure, Triumph Tiger GT PRO 1200 ini berupaya membuat penunggangnya mencapai kebolehan kedua-dua jentera berlainan jenama tersebut, tetapi pada tahap yang ‘pertengahan.’

Motosikal ini dijual bermula daripada RM113,600 dan boleh didapati pengedar utamanya di Triumph Petaling Jaya atau Triumph Batu Caves, Selangor. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya