TNB tingkat akses tenaga menerusi kerjasama dengan Vietnam dan Laos - Utusan Malaysia

TNB tingkat akses tenaga menerusi kerjasama dengan Vietnam dan Laos

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah memeterai kerjasama strategik dengan pemain tenaga utama di Vietnam dan Laos untuk meningkatkan usaha berterusannya bagi mengukuhkan kesalinghubungan Grid Tenaga ASEAN dan memacu aspirasi Malaysia untuk menjadi hab Tenaga Boleh Baharu (TBB) untuk ASEAN.

Kerjasama itu adalah untuk mempercepatkan usaha penyahkarbonan serantau dan memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk pilihan tenaga yang lebih bersih dan mampan.

Kerjasama ini juga bertujuan untuk meningkatkan portfolio TBB TNB dan mempercepatkan pengembangan anak syarikat milik penuh TNB, TNB Power Generation Sdn. Bhd. (TNB Genco) serta bahagian bisnesnya New Energy Division (NED) TNB ke Asia Tenggara.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Baharin Din berkata, pihaknya amat komited dalam mempromosikan TBB dan mewujudkan masa depan yang mampan untuk Asia Tenggara.

“Dengan menggabungkan kekuatan dan kepakaran kami, kami akan membuka potensi TBB yang luas di Vietnam dan Laos, memacu pertumbuhan ekonomi dan peralihan tenaga yang lebih luas,” katanya dalam kenyataan.

Ujarnya, kerjasama strategik itu direalisasikan melalui pemeteraian tiga Memorandum Persefahaman (MoU).

Jelasnya, MoU yang ditandatangani di Vietnam adalah antara TNB Renewables Sdn Bhd (TRe) dan Saigon Gia Dinh Electric Joint Stock Company (EHCMC) serta antara TNB Repair and Maintenance Sdn. Bhd. (TNB REMACO) dan North Power Service Joint Stock Company (EVNNPS).

“MoU TRe-EHCMC adalah untuk meneroka peluang teknologi penjanaan TBB yang berpotensi di Vietnam, manakala MoU TNB REMACO-EVNNPS adalah untuk kolaborasi dan kerjasama bagi kerja-kerja perkhidmatan berkaitan tenaga yang berpotensi di Vietnam, Kemboja, Laos, Myanmar dan Thailand.

“Melalui MoU antara TRe dan EHCMC, kami berharap dapat memanfaatkan gabungan kekuatan dan kepakaran yang boleh membuka potensi TBB yang luas di Vietnam.

“Dalam kerjasama TNB REMACO-EVNNPS, TNB menawarkan perkhidmatan berharga seperti O&M dan Penyelenggaraan, Pembaikan dan Baik pulih (MRO),” katanya.

Pemeteraian MoU itu disaksikan oleh Duta Besar Malaysia ke Vietnam, Datuk Tan Yang Thai, mempamerkan sokongan kerajaan Malaysia terhadap inisiatif ini.

Begitu juga, MoU yang ditandatangani di Laos antara anak syarikat milik penuh TNB, TNB Genco dan Electricite Du Laos (EDL) disaksikan oleh Duta Besar Malaysia ke Laos, Edi Irwan Mahmud, seterusnya menekankan kepentingan kerjasama serantau ini.

Di samping pemeteraian itu, pengurusan TNB juga berpeluang bertemu dengan tokoh-tokoh penting kerajaan dan industri.

Di Vietnam, pengurusan TNB bertemu dengan Menteri Perindustrian dan Perdagangan, Nguyen Hong Dian, di mana penyataan minat (Expression of Interest – EOI) telah dikemukakan untuk menyertai projek TBB dan LNG di Vietnam.

Selain itu, sebuah perbincangan yang produktif telah diadakan dengan Ketua Pegawai Eksekutif Vietnam Electricity (EVN), Tranh Dinh Nhan serta wakil EVN mengenai potensi kerjasama antara TNB dan EVN untuk menangani agenda peralihan tenaga.

Lawatan ke Laos juga melibatkan pertemuan dengan Menteri Tenaga dan Galian, Phoxay Sayasone, yang membuka peluang dialog dan kerjasama selanjutnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya