Ringgit terus alami penyusutan berbanding dolar

Ringgit terus susut , dibuka 4.58 berbanding dolar

ringgit
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ringgit terus mengalami penyusutan apabila didagangkan lebih rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada pagi ini.

Menurut penganalisis, dolar kekal kukuh didorong oleh lonjakan dalam hasil Perbendahraan AS di tengah-tengah ketidaktentuan mengenai siling hutang negara itu.

Dalam sesi dagangan pukul 9 pagi ini, ringgit didagangkan pada kadar 4.5790/5820 berbanding dolar pada penutup semalam pada 4.5700/5750.

Memetik laporan Bernama, Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, siling hutang kerajaan AS terus menjadi perhatian kerana ahli politik masih belum mencapai persetujuan untuk menaikkan had hutang, yang mana kegagalannya boleh mengakibatkan keingkaran dalam obligasi hutang.

“Pada 129 peratus daripada keluaran dalam negara kasar, hutang kerajaan AS adalah besar dan sebarang kemungkiran boleh `bergema’ di seluruh pasaran global.

“Walaupun begitu, dolar AS masih disifatkan sebagai mata wang selamat dan pada masa ketidaktentuan, peserta pasaran akan cenderung untuk mendapatkan perlindungan dengan memegang lebih banyak dolar,” katanya.

Beliau menyatakan bahawa Indeks Dolar AS (DXY) kekal pada paras tinggi 103.488 mata.

Oleh itu, ringgit berkemungkinan kekal lemah, pada masa ini 4.5725 berbanding dolar AS dengan paras rintangan serta-merta pada 4.6257, tambahnya.

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama. Mata wang tempatan itu lemah berbanding pound kepada 5.6894/6931 daripada 5.6577/6639 pada Selasa, susut nilai berbanding euro kepada 4.9325/9357 daripada 4.9251/9305 dan lebih rendah berbanding yen pada 3.3059/3084 daripada 3.3006/3044.

Mata wang negara itu juga diniagakan rendah berbanding mata wang ASEAN lain.

Ringgit susut berbanding rupiah Indonesia pada 307.7/308.1 daripada 307.1/307.7 pada penutup semalam dan jatuh kepada 3.3994/4021 daripada 3.3920/3962 berbanding dolar Singapura.

Ringgit turun sedikit berbanding peso Filipina kepada 8.21/8.22 berbanding 8.20/8.21 semalam dan susut berbanding baht Thailand kepada 13.2341/2481 daripada 13.1712/1920 sebelumnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN