Perdagangan Malaysia dijangka mendatar pada Mei

Perdagangan Malaysia dijangka mendatar pada Mei

PRESTASI eksport Malaysia merosot pada April 2023, didorong oleh eksport domestik yang lebih rendah. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perdagangan Malaysia pada Mei dijangka kekal rendah seperti yang dica­tatkan pada April lalu iaitu susut 14.5 peratus kepada RM198 bilion.

Ini berikutan pelbagai keada­an terutama ketidaktentuan global disebabkan oleh krisis geopolitik di Ukraine dan Russia yang masih berpanjangan, sekali gus tidak membantu pemulihan ekonomi global.

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, keadaan diburukkan lagi dengan pembukaan ekonomi China yang lebih perlahan dan berhati-hati.

“Keadaan itu turut memperlahankan ekonomi dunia walaupun pada awal tahun ia disasarkan untuk menjadi pemangkin utama ekonomi terutama kepada Asia Timur.

“Namun, data-data terbaharu di China berada di bawah unjuran awal walaupun ia masih positif.

“Jadi, tidak hairanlah pasaran eksport malaysia juga memberikan pertumbuhan yang tidak memberangsangkan selari de­ngan ekonomi dunia yang perlahan dalam jangkaan hanya 1.7 peratus pada 2023 oleh Bank Dunia,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Jelas beliau, pengukuhan mata wang dolar Amerika Syarikat juga menyebabkan harga barangan terutamanya tenaga dan komoditi-komoditi utama dunia menjadi lebih mahal.

“Kadar inflasi pula masih tidak dapat diturunkan sepenuhnya walaupun lebih rendah dari tahun lepas.

“Justeru, jangkaan pada Mei tidak banyak berubah dan sama dengan apa yang direkodkan pada April lalu.

“Walaupun negara akan terus mencatatkan lebihan dagangan, namun jumlah eksport dan import dijangka mendatar pertumbuhannya berbanding tempoh yang sama 2022,” ujarnya.

Terdahulu, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin mengumumkan, di sebalik ekonomi global yang tidak menentu, prestasi perdagangan Malaysia pada April susut 14.5 peratus kepada RM198 bilion tahun ke tahun.

Katanya, bagi tempoh ber­kenaan, eksport dan import Malaysia mencatatkan penurunan masing-masing susut 17.4 peratus dan 11.1 peratus kepada RM105.4 bilion dan RM92.6 bi­lion, namun imbangan daga­ngan kekal mencatatkan lebihan dengan nilai RM12.8 bilion.

Tambah beliau, prestasi eksport Malaysia merosot 17.4 pe­ratus daripada RM127.6 bi­lion kepada RM105.4 bilion pada April 2023 didorong oleh eksport domestik yang lebih rendah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya