Pasaran saham, mata wang dijangka meruap - Utusan Malaysia

Pasaran saham, mata wang dijangka meruap

FBM KLCI dijangka mencapai paras 1,740 mata menjelang akhir tahun ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jangkaan pasaran saham dan mata wang dijangka kekal meruap pada minggu ini berikutan ketidaktentuan pasaran mengenai momentum kenaikan kadar faedah di negara maju.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) bakal diadakan pada 2 hingga 3 Mei ini yang mana rata-rata penganalisis ekonomi menjangkakan kenaikan kadar faedah sebanyak 25 mata asas.

“Manakala pihak Bank Pusat Eropah (European Central Bank) pula, mesyuarat majlis pemerintahan akan diadakan pada 4 Mei yang mana para penganalisis juga menjangkakan kenaikan kadar faedah sebanyak 25 mata asas.

“Secara umumnya, bank-bank pusat utama dunia dijangka akan memperlahankan momentum kenaikan kadar faedah berikutan kadar inflasi yang dilihat semakin merosot.

“Perkembangan itu seharusnya sesuatu yang positif bagi pasaran kewangan. Namun, kebimbangan seterusnya adalah impak terhadap ekonomi global hasil daripada kenaikan kadar faedah yang agresif sebelum ini.

“Kebimbangan terhadap sektor perbankan di Amerika Syarikat masih lagi berlangsung apabila harga saham First Republic Bank terus merudum,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Selain itu, jelasnya, kerajaan Singapura dilihat mengambil langkah drastik untuk memperlahankan sektor hartanah mereka apabila kerajaan menaikkan duti setem bagi rakyat Singapura serta pelabur asing.

Duti setem hartanah bagi rakyat Singapura yang membeli rumah kedua telah dinaikkan daripada 17 peratus ke 20 peratus.

Bagi pembelian rumah seterusnya, duti setem tersebut akan dinaikkan daripada 25 peratus ke 30 peratus manakala bagi pelabur asing, duti setem tersebut dinaikkan daripada 30 peratus ke 60 peratus.

Oleh itu, katanya, pasaran saham akan lebih berhati-hati dalam tempoh terdekat berikutan peralihan fasa pertumbuhan ekonomi global yang dijangka lebih perlahan pada separuh tahun kedua 2023.

Mengulas lanjut, Mohd. Afzanizam berkata, faktor geopolitik juga bakal memberi impak kepada pergerakan harga komoditi dunia.

Ujarnya, Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+) telah membuat keputusan untuk mengurangkan pengeluaran minyak mentah sebanyak 1.66 juta tong sehari pada 3 April yang lalu.

“Perkara ini telah menyebabkan harga minyak mentah Brent melonjak setinggi AS$87 setong pada pertengahan April lalu sebelum turun ke paras sekitar AS$78 setong.

“Perkara ini sudah pasti akan menaikkan kos operasi perniagaan dan boleh mengakibatkan pengurangan dalam margin keuntungan.

“Justeru, para pelabur dijangka akan terus selektif dalam pemilihan syarikat-syarikat yang bakal dibeli dan disimpan dalam portfolio mereka.

“Industri seperti Minyak dan Gas dijangka akan mendapat perhatian disebabkan jangkaan perbelanjaan modal oleh Petronas yang berjumlah RM500 billion untuk tempoh lima tahun akan datang bakal memanfaatkan para pemain industri diperingkat huluan.

“Manakala sektor pembinaan juga lebih rancak apabila kerajaan telah pun mensasarkan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM97 billion bagi tahun ini yang mana ia akan memberi kesan limpahan pada projek-projek infrastruktur,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya