KESUKARAN masyarakat Islam mendapatkan produk marshmallow yang dihasilkan oleh orang Islam mendorong seorang wanita, Nursyamimi Ahmad Daud, 33, dari Ampang, Ipoh menghasilkan produk makanan itu.
Memulakan perusahaan membuat produk marshmallow sejak awal tahun ini, Nursyamimi atau mesra dengan panggilan Mimi Mimo sama sekali tidak menyangka produk yang dihasilkannya itu mendapat sambutan luar biasa daripada penggemar.
Malah, dia menyifatkan sambutan terhadap perniagaannya ‘laju’ apabila produknya sudah dikenali ramai dan jumlah pelanggan yang membuat tempahan meningkat dalam tempoh yang singkat apatah lagi produk itu merupakan satu pasaran baharu.
Sebelum ini, dia dan dan suami menjalankan perniagaan menjual barangan dari China seperti beg kertas sebagai cenderahati atau door gift.
“Perniagaan produk marshmallow ini bermula apabila saya mendapati pengguna Islam sukar untuk mendapatkan produk marshmallow yang halal, iaitu yang diperbuat oleh orang Islam.
“Malah anak-anak saudara saya sendiri menggemari gula-gula dan marshmallow. Kalau kita tengok ada ibu bapa yang kalau ke kedai, anak mereka akan minta belikan gula-gula terutama marshmallow tetapi sukar nak dapatkan yang halal kerana gelatin yang digunakan untuk membuat produk ini.
“Di negara ini hanya ada satu sahaja kilang yang menjual gelatin yang halal kerana pasaran produk ini masih baharu.
“Saya mencipta resepi marshmallow sendiri hanya di rumah dengan bahan seperti bahan gelatin yang halal, gula, glukosa sirap, air tepung jagung, pewarna dan perisa.
“Agak mengambil masa juga bagi menghasilkan produk yang benar-benar berkualiti terutama dari segi rasanya dan akhirnya saya berjaya lalu terus menjualnya dan setakat ini jualan secara atas talian melalui media sosial Tiktok dan Shopee selain jualan terus kepada pelanggan menerusi jualan di gerai-gerai pada majlis atau program-program tertentu,” katanya.
Menurutnya, dia menghasilkan 10 perisa produk marshmallow antaranya perisa durian, nanas, pandan, coklat, strawberi, bluberi, oreo, biscoff dan red velvet.
Katanya, jualan adalah mengikut kotak yang mana dalam satu kotak terdapat 10 marshmallow pada harga RM20 sekotak.
“Dalam sehari saya boleh menghasilkan hingga 400 ketul marshmallow dan perisa yang paling laris ialah perisa campuran,” katanya.
Menurutnya, semasa bulan Ramadan lalu, dia menghasilkan marshmallow edisi terhad khas sempena bulan puasa.
“Saya bermula agak lewat, iaitu pada minggu kedua Ramadan baru saya membuat marshmallow namun sambutannya tetap menggalakkan,” katanya.
Jelasnya, buat masa ini dia membuat marshmallow di rumahnya namun sedang giat berusaha untuk menyewa premis bagi menghasilkan marshmallow dalam kuantiti yang lebih banyak.
“Untuk kos bagi membuka premis pembuatan marshmallow, saya berjumpa dengan beberapa agensi berkaitan untuk meminta bantuan. Saya mahu memperbesarkan lagi perniagaan ini dengan dibantu suami selain saya bercadang untuk mengambil pekerja,” katanya.
“Saya yakin pasaran produk marshmallow begitu besar, bukan sahaja di negeri ini tetapi yakin produk ini akan dieksport suatu hari nanti.
“Berdasarkan kursus-kursus perniagaan yang saya hadiri, ramai yang memberi sokongan kepada usaha saya ini malah mereka yakin produk ini boleh dieksport kerana ia mempunyai perisa tempatan, sesuatu yang sememangnya diminati oleh penggemar produk marshmallow di luar negara terutama di United Kingdom,” katanya.
Tambahnya, dia bercadang untuk memohon sijil Halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk produk yang dihasilkannya itu.
Maklumat lanjut mengenai produk marshmallow ini boleh diperoleh menerusi Instagram: melloo.my dan Tiktok: melloo.my – UTUSAN