Isuzu D-Max X-Terrain dipertingkat untuk cabaran terkini - Utusan Malaysia

Isuzu D-Max X-Terrain dipertingkat untuk cabaran terkini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISUZU D-MAX adalah salah satu daripada trak yang begitu sinonim atas jalan raya Malaysia. Mungkin, ia tidak sebanyak MITSUBISHI TRITON atau sepopular FORD RANGER. Namun begitu, kepada yang rajin memandu ke negara jiran di Thailand, kelibat ISUZU D-MAX merata-rata. Populariti trak ISUZU D-MAX ini mula bertambah terutama dengan kemunculan versi premium 1.9, iaitu sebuah trak yang menjanjikan kadar cukai jalan dan insurans yang lebih rendah, namun tidak pula kekurangan daripada segi bantuan pemanduan elektronik.

PENAMBAHBAIKAN MODEL 2023
Tahun 2023, ISUZU sekali lagi mempertaruhkan varian terbaru ISUZU D-MAX bermula daripada rangkaian spek tertinggi mereka iaitu versi X-TERRAIN dan versi Premium. Perubahan paling ketara ialah skim warna “Gray Mica” atau sejenis warna kelabu yang begitu banyak diperkenalkan pada model-model terbaharu kereta, motosikal, malah helmet-helmet penunggangan juga banyak jenama yang menghasilkan warna kelabu. Skim warna Putih Mutiara juga turut diperkenalkan dan memberikan keunikan pada barisan trak-trak ISUZU. Sementara bagi versi automatik Premium, Plus dan Standard Automatik, warna biru metalik turut diperkenalkan.

Jika dilihat daripada rekabentuk kosmetik luaran, ternyata gril hadapan D-MAX tampak diperbaharui untuk dilihat lebih sporty dan lebih dinamik. Masuk sahaja ke ruang kabin dalaman, anda akan ‘disajikan’ dengan tempat duduk rekaan baharu dan bertemakan warna hitam. Pada versi “Flagship X-Terrain” pula penggunaan warna hitam ternyata akan kontras dengan kemasan permukaan sekeliling kabin trak.

Masih lagi menceritakan tentang keadaan dalam kabin trak versi tertinggi D-Max, penggunaan kamera pemuka hadapan, yang kini berkapasiti merakam video 1440p sementara kamera belakang pula mampu menghasilkan video berdefinisi 1080P. Video-video ini boleh disimpan dalam kad memori atau boleh dimuat turun ke telefon bimbit anda melalui aplikasi yang perlu anda muat turun.

Untuk menambahkan lagi ‘seri’ dalam kabin, D-Max baharu turut disertakan lampu ‘suasana’ di bahagian letak kaki. Selain menaikkan tahap kecerahan dalam kabin, ia turut memberikan satu suasana eksklusif pada pemandu dan penumpangnya.

Versi X-Terrain, Premium dan Plus automatik juga didatangkan dengan pengecas peranti tanpa wayar 15W untuk membolehkan proses pengecasan tersebut dilakukan dengan lebih pantas. Versi X-Terrain dan Premium walau bagaimanapun, turut disertakan port USB-C untuk pengecasan tambahan bagi pengguna lain di dalam trak.

Roda 19 inci yang baharu, lampu hadapan lengkap dengan DRL, serta sistem infotainment lengkap dengan skrin sesentuh 9 inci yang boleh dimuat naik Apple Car Play atau Android Auto untuk membolehkan anda mempunyai sistem hiburan dan penggunaan telefon secara tanpa perlu dipegang lagi. Malah, trak ini dilengkapi dengan 8 speaker untuk anda menikmati lagu-lagu yang diudarakan lengkap dengan profil bunyi yang menyedapkan halwa telinga anda. Trak zaman kini sudah seperti memandu sebuah kereta sedan biasa, menjanjikan lebih mudah untuk dipandu oleh sesiapa sahaja.

PEMANDUAN LASAK
Sudah tentu, kenderaan versi trak ini direka untuk dipergunakan pada permukaan jalan tidak rata, atau laluan luar kawasan atau laluan dalam kebun-kebun yang tidak ditar dan berbatu-batuan. Keseluruhan varian 4×4 yang baharu ini ditambah dengan kekunci gandar belakang yang dilakukan secara elektronik. Keupayaan sistem ini mampu memberikan cengkaman yang lebih baik terutama ketika memandu pada permukaan yang tidak rata atau jalan-jalan licin.

Versi 3.0 liter automatik didatangkan dengan sistem suspensi yang telah diperbaiki, membolehkan trak ini memikul berat barangan sebanyak 775 kilogram (kg) berbanding kebolehan kenderaan versi sebelum ini yang hanya 580 kg. Kebolehan ini bakal disukai oleh para pengguna trak di Sabah atau Sarawak. Menurut Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia, Kenkichi Sogo, penambahan kebolehan dan rekabentuk dalaman trak versi 2023 ini adalah hasil daripada maklum balas dan permintaan para pelanggan Isuzu.

KESIMPULAN
Trak terbaharu daripada Isuzu ini, lengkap dengan spesifikasi dan sistem bantuan pemanduan elektronik terbaharu, sekiranya dibandingkan dengan trak jenama lain, ia bukanlah sesuatu yang baharu atau belum pernah diketahui oleh para peminat trak lasak ini.

Dalam persoalan ini, saya berpendapat, ia lebih kepada selera peribadi atau kesetiaan anda pada jenama. Dari segi teknologi, rekaan rupa bentuk kosmetik dan juga keupayaan pemanduannya, saya merasakan ia boleh didapati pada lain-lain jenama juga. Begitupun, apa yang menarik bagi saya ialah Isuzu mempunyai latarbelakang menghasilkan jentera-jentera tahan lasak dan jentera-jentera komersial. Oleh itu, jenama ini saya rasakan lebih berpengalaman dan lebih berkebolehan untuk menghasilkan sistem dan kejuruteraan yang lebih efisien.

Penawaran daripada varian-varian yang pelbagai juga bagi saya ialah salah satu kekuatan jenama Isuzu ini, bukan sahaja daripada tahap kosmetik sahaja atau dari segi aksesori tambahan, tetapi Isuzu juga turut menawarkan versi pacuan 2 roda dan kapasiti enjin 1.9cc yang boleh didapati dalam versi premium dan kotak gear automatik.

Sudah tentu ada sebabnya mengapa Isuzu D-MAX ini sungguh laris di negara Thailand. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya