KETIKA ramai rakan sekuliahnya bekerja sebagai guru agama dan ustaz, lain pula ceritanya buat Mohd. Zulkifli Harun, 41, yang bergelar usahawan muda berjaya dengan produk minuman kesihatan.
Graduan Diploma Pengajian Islam Usuluddin Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) itu kini lebih dikenali sebagai pemilik dan pengasas produk Kopi Pracampuran Super Jantan yang dikeluarkan sejak 2009.
Pengarah Urusan GLE Centre Sdn. Bhd. itu berkata, dia didedahkan dengan dunia perniagaan pada usia lapan tahun ketika membantu keluarganya di kedai makan di Kampung Losong, Kuala Terengganu.
Sebaik menamatkan pengajian, dia menjadi tenaga pengajar selama 10 tahun di Yayasan Islam Terengganu sambil turut menjalankan perniagaan dengan menjual produk minuman kopi pracampuran.
“Ketika itu saya menjual produk kopi pracampuran orang lain sebelum terfikir kenapa tidak saya usahakan jenama kopi sendiri. Dari situ terhasil produk Kopi Pracampuran Super Jantan dengan dibantu tiga orang kakitangan.
“Peringkat awal memang memenatkan. Siang mengajar sampai pukul 5 petang, malam baru saya akan keluar mempromosikan Kopi Pracampuran Super Jantar di kedai-kedai makan dan pasar raya dari Besut ke Kemaman.
“Dimaki dan dicaci adalah perkara biasa namun saya bersyukur penat lelah itu membuahkan hasil dengan kami kini memiliki 17 produk seperti kopi premium, koko, teh halia dan susu kambing.
“Kilang kami juga mampu mengeluarkan 25,000 kotak produk sebulan manakala nilai jualan 2022 berjaya mencapai RM2.3 juta,” katanya ketika ditemui di kilangnya di Bukit Kor, Marang, baru-baru ini.
Menurut Mohd. Zulkifli, sambutan memberangsangkan terhadap Kopi Pracampuran Super Jantan mendorong penghasilan produk kedua pada 2010 iaitu susu kambing yang memiliki keunikan tersendiri.
Katanya, produk berkenaan adalah satu-satunya di Malaysia yang menggunakan kambing tempatan sekaligus membantu penternak di negeri itu sehingga turut berjaya menembusi pasaran Indonesia.
“Kejayaan Kopi Pracampuran Super Jantan membantu kami memiliki ejen di setiap negeri dan pengeluaran produk kedua iaitu susu kambing merancakkan lagi perniagaan untuk menjadi produk paling laris.
“Produk susu kambing ‘laku keras’ di Makasar dan Padang, Indonesia namun ianya terganggu disebabkan Covid-19. Kami merancang untuk kembali semula ke negara itu dan Thailand pada 2024.
“Buat masa ini, pihak syarikat sedang mengatur proses dokumentasi lesen dan sijil halal dengan pihak berkuasa negara berkenaan bagi melicinkan operasi di sana,” jelasnya.
Tambah Mohd. Zulkifli, GLE Centre turut memiliki cabang perniagaan selain minuman kesihatan iaitu butik pakaian lelaki dan wanita, dobi serta perkhidmatan kereta sewa.
Bagaimanapun jelasnya, fokus utama pihak syarikat adalah kepada produk berasaskan minuman kesihatan dengan rancangan melancarkan produk baharu yang dijangka selepas Aidilfitri.
Menurutnya, mereka juga akan dikunjungi pihak Tekun Nasional yang menyediakan geran RM100,000 bagi menambah bilangan mesin sekaligus meningkatkan kapasiti pengeluaran di kilang.
“Selain itu syarikat kami juga berhasrat memiliki kafe sendiri bagi memudahkan pelanggan merasai sendiri minuman kesihatan termasuk kopi, susu kambing, teh halia madu dan banyak lagi.
“Dengan modal permulaan sekitar RM20,000 ketika awal pembabitan, saya berbangga sehingga 2022, kami memiliki aset sekitar RM500,000 dan modal berbayar mencecah RM1 juta.
“Pelbagai pembaharuan dilakukan tahun ini antaranya mewujudkan sistem belian ejen bagi membolehkan mereka menikmati untung runcit serta bonus setiap bulan.
“Dengan pelancaran produk baharu serta peningkatan kapasiti, pihak syarikat meletakkan sasaran pengeluaran lebih 400,000 kotak produk setahun dan nilai jualan RM3.5 juta tahun ini,” katanya. – UTUSAN