MELAKA: Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menerima dividen sebanyak RM5 juta daripada UTeM Holdings Sdn. Bhd. (UHSB) iaitu yang tertinggi dalam sejarah universiti berkenaan.
Naib Canselor UTeM, Prof. Ts. Dr. Massila Kamalrudin berkata, terdapat peningkatan dividen sebanyak RM2.1 juta berbanding hanya RM2.9 juta pada tahun sebelumnya.
Menurut beliau, prestasi membanggakan itu merupakan satu kemajuan pada 2022 setelah bergelut selama beberapa tahun menerusi inisiatif perniagaan dan pemantapan strategik.
“Usaha yang dilaksanakan UHSB mula menzahirkan lonjakan pendapatan dan meraih keuntungan besar. UTeM sentiasa menyokong segala bentuk kecekapan dan keberkesanan pengurusan yang dipamerkan oleh kumpulan pengurusan dan kakitangan UHSB.
“Secara tidak langsung penyerahan dividen yang besar ini dapat menambah sumber kewangan universiti,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif UHSB, Datuk Sazali Mohd. Din berkata, momentum prestasi yang memberangsangkan itu dapat diteruskan lagi pada masa hadapan sekaligus membanggakan universiti berkenaan.
Katanya, UHSB akan terus bergerak lebih proaktif dalam memfokuskan kejayaan projek-projek yang sedang dilaksanakan, di samping mengintai peluang penerokaan perniagaan baharu.
“Inisiatif ini seiring dengan kepakaran yang dimiliki. Pada masa sama juga UHSB sedang berusaha mengguna pakai tenaga dan kepakaran yang dimiliki oleh kakitangan akademik UTeM agar dapat memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak,” katanya. – UTUSAN