PETALING JAYA: Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Nor Azmie Diron telah dilantik ke Lembaga Amanah Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju), berkuat kuasa 27 Mac lalu.
Yayasan Peneraju dalam kenyataan memaklumkan, Lembaga Pemegang Amanahnya dilantik secara pro-bono.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju, Ts. Dr. Mohd Muzzammil Ismail berkata, Yayasan Peneraju mengalu-alukan pelantikan baharu dalam Lembaga Pemegang Amanahnya dan akan bekerjasama dengan pengurusan mereka ke arah membawa Yayasan Peneraju ke hadapan.
“Bersama-sama sebagai sebuah organisasi yang dipacu data, kami akan berusaha ke arah mereka bentuk dan menawarkan lebih banyak program yang dipacu industri untuk meningkatkan kebolehpasaran belia dengan kemahiran yang betul, kaedah ‘tempat dan latih’ kami dan akhirnya meningkatkan ekonomi negara.
“Kami juga mengucapkan terima kasih kepada Lembaga Pemegang Amanahnya yang terdahulu atas bimbingan dan sumbangan mereka sepanjang tempoh perkhidmatan mereka,” katanya.
Yayasan Peneraju ialah sebuah agensi kerajaan yang ditubuhkan pada 2012 untuk memberi tumpuan kepada pengukuhan pembinaan kapasiti ke arah kelestarian bakat Bumiputera.
Ini adalah selaras dengan usaha kerajaan untuk memacu Malaysia ke arah negara berpendapatan tinggi melalui program pembiayaan akademik, TVET, profesional, teknologi dan pakar yang berstruktur.
Yayasan Peneraju telah berjaya meningkatkan kemahiran dan kemahiran semula lebih 57,000 modal insan termasuk golongan B40, M40, luar bandar dan terpinggir melalui lebih 440 program bagi membolehkan mereka menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara. – UTUSAN