PETALING JAYA: Pendapatan operasi Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) bagi tahun kewangan 2022 meningkat 8.6 peratus kepada RM791.26 juta daripada tahun sebelumnya, didorong oleh kenaikan jumlah kendalian kargo oleh tiga anak syarikatnya.
Bagaimanapun, keuntungan selepas cukai (PAT) Kumpulan susut kepada RM127.72 juta daripada RM363.19 juta tempoh sama tahun sebelumnya.
Penyusutan itu disebabkan terutamanya oleh transaksi `sekali sahaja’ pada pengiktirafan tertunda aset cukai yang timbul daripada elaun cukai pelaburan yang tidak digunakan di salah satu anak syarikatnya, Samalaju Industrial Port Sdn. Bhd. pada 2021.
Menurut syarikat itu, pada 2022, Kumpulan telah mencapai kemajuan yang bermakna dalam semua aspek, kerana meningkatkan prestasi kewangan dan mencapai kecemerlangan dalam khidmat penghantaran.
“Didorong oleh ekonomi global ke arah pemulihan, jumlah kendalian kargo Kumpulan pada 2022 meningkat sebanyak 7.6 peratus kepada 50.73 juta tan daripada 47.16 juta tan pada 2021.
“Peningkatan prestasi diterajui oleh peningkatan dalam kendalian gas asli cecair (LNG), meningkat 8.5 peratus daripada 22.95 juta tan kepada 24.89 juta tan pada 2022. Kumpulan juga mengalami pengembangan volum dalam kendalian kargo bukan LNG, yang meningkat sebanyak 6.7 peratus kepada 25.83 juta tan daripada 24.21 juta tan pada 2021,” katanya dalam kenyataan.
Menurut BPHB, jumlah panggilan kapal yang direkodkan pada 2022 ialah sebanyak 7,505, meningkat 11.4 peratus daripada 6,735 panggilan pada 2021.
Katanya, kapal LNG meningkat sebanyak 3.1 peratus kepada 469 panggilan, manakala kapal bukan LNG menyumbang kepada sebahagian besar daripada peningkatan tahunan dilaporkan, sebanyak 12.0 peratus kepada 7,036 panggilan.
Sementara itu, kargo pukal cecair lain juga meningkat sebanyak 2.7 peratus, manakala kargo pukal kering di Pelabuhan Bintulu meningkat sebanyak 3.9 peratus pada 2022 dan pukal kering di Samalaju Industrial Port menyaksikan peningkatan mendadak sebanyak 21.7 peratus.
“Breakbulk juga meningkat di kedua-dua pelabuhan sepanjang tahun, meningkat sebanyak 42.6 peratus di Pelabuhan Bintulu dan sebanyak 27.6 peratus pada Pelabuhan Samalaju,” katanya.
Dalam pada itu, Mesyuarat Agung Tahunan ke-27 BPHB di Kuching hari ini menyaksikan tujuh resolusi dibentangkan untuk kelulusan pemegang saham dan kesemuanya telah diluluskan.
Menurut BPHB, asas kewangan Kumpulan yang kukuh dan daya tahan operasi sebagai pembekal perkhidmatan pelabuhan dan marin telah membolehkan Kumpulan mencapai beberapa peristiwa penting korporat pada tahun 2022.
Antaranya, permulaan tambahan empat laluan eksport baharu di Biport Bulkers Sdn. Bhd. (BBSB) yang meningkatkan pengendalian kapasiti BBSB daripada 13 kepada 17 laluan pada satu masa dan pelayaran sulung kapal Tiger Bintulu di Terminal Kontena Antarabangsa Bintulu (BICT) membawa 400 unit tangki ISO LNG.
“Melihat ke hadapan, Kumpulan menjangkakan ekonomi global akan kekal kukuh pada 2023, dan Malaysia akan terus mendapat manfaat daripada pemulihan ekonominya.
“Kumpulan yakin dengan keupayaannya untuk memanfaatkan peluang pertumbuhan di semua unit perniagaan, termasuk pengendalian kargo dan kontena dari Taman Perindustrian Samalaju. Kumpulan optimis LNG akan kekal sebagai sumber pendapatan yang signifikan untuk BPSB,” katanya. – UTUSAN