Kegilaan terhadap motosikal genre skuter nampaknya masih belum terluput lagi dalam pasaran tempatan. Semakin banyak pengeluar berlumba-lumba untuk mengeluarkan model terbaru mereka.
Namun MOTOSIKAL DAN ENJIN NASIONAL atau lebih dikenali sebagai MODENAS, mengambil pendekatan untuk ‘menarik taraf’ skuter ELEGAN 250 mereka yang telah pun berada di pasaran hampir 5 tahun lalu.
Pada penghujung Februari 2004, Modenas melancarkan skuter sejukan air pertama mereka, iaitu Modenas Elegan. Model ini disasarkan kepada golongan mempunyai keinginan untuk menunggang pada jarak yang jauh. Skuter Elegan ini mempunyai tangki minyak yang mudah dicapai di bawah hendal, ruang letak barang yang besar di bawah tempat duduk, dan meter digital LCD di bahagian tengah meter, untuk odometer meter suhu dan tolok minyak. Dinding silinder enjin disaluti seramik Ni-Si untuk ketahanan yang lebih baik semasa perjalanan jauh.
2018 menyaksikan Elegan ini mula dipertingkatkan beberapa bahagiannya seperti bahagian lampunya yang kini dilengkapi dengan LED DRL (daytime running lights) dan lampu projektor. Maka, untuk model 2023 ini, sudah tentulah lampu hadapan menjadi pilihan untuk diubah rekaan dan kemasannya. Model 2023 ini ibarat seperti mata labah-labah, mempunyai 4 lampu LED dan Projektor untuk sebelah lampu. Inilah bagi saya satu-satunya perubahan ketara yang dapat dilihat secara fizikal. Perubahan pada sistem enjin Euro 4, sistem brek ABS dan alat pengecas peranti dalam kebuk simpanan barangan di sebelah kiri motor.
PENUNGGANGAN
Saya agak kebiasaan menunggang skuter-skuter maxi ini dan dibandingkan prestasinya dengan 2 lagi jenama skuter yang popular iaitu YAMAHA XMAX dan WMOTO RT3/RT3S, serta merta anda dapat rasakan elemen penarik dan juga pelemah semangat para pecinta skuter terhadap Elegan terbaru ini.
Elegan 250 adalah skuter yang mempunyai sistem suspensi standard yang terbaik, sekiranya dibandingkan dengan 2 jenama tadi. Sesuatu yang saya gagal dapat ketika menguji pandu 2 jenama skuter tersebut sebelum ini ialah kestabilan ketika mengambil selekoh yang panjang dalam kelajuan tinggi. Elegan ini walau bagaimanapun, langsung tidak bergoyang, berayun, mahu pun bergoncang ketika jarum meter menunjukkan kelajuan yang dicapai ketika itu adalah 130km/j.
Namun kegembiraan saya hanya untuk sementara apabila mendapati kuasa pecutan Elegan ini agak mendatar (linear) dan kelajuan tertinggi saya hanya berjaya mencapai 140km/j… Begitu pun, harus diingat, skuter ini bukanlah skuter sport (walaupun ada tiktoker yang dengan tenang berkongsi video mereka yang mengatakan model ini sports!), malah lebih kepada untuk penunggangan santai. Untuk laluan lurus seperti di lebuhraya, menunggang pada tahap laju maksima memberikan keyakinan pada penunggangnya kerana tidak merasakan goyangan atau gegaran.
Ruang tempat duduk atau pelana agak besar juga dan ruang penyimpanan barangan pun saya kira sedikit sahaja kecil daripada Yamaha Xmax.
KESIMPULAN
Tidak terdapat sebarang perubahan signifikan kerana model ini hanyalah sebuah model “Facelift” dan itu pun, sebenarnya pembaharuan ini tidak lengkap dan seolah terlebih fokus terhadap dadanya.
Seperti kesemua reviu saya, saya selalu mengetengahkan fakta yang jujur hasil daripada uji pandu saya. Sehubungan dengan itu, skuter ini saya rasakan tidak sesuai untuk mereka yang mempunyai ketinggian lebih daripada 5’5”. Saya tidak dapat ‘melurus’kan kaki akibat papan pemijak yang agak sempit dan juga sudut darjah pemijak kaki berada dalam kedudukan yang pelik dan menyebabkan pergelangan kaki saya bakal sakit akibat posisi pemijak yang unik tersebut.
Bar handle nya agak terlalu terkebelakang sehinggakan seperti ianya terlalu rapat dengan dada. Kedua-dua cermin sisinya juga berada di posisi yang agak sama sehingga merasakan sedikit ‘semak’. Kusyen atau pelananya juga, walau mempunyai ‘acuan’ yang baik untuk menampung punggung dan bahagian penyandaran tulang belakang bawah, spannya saya rasakan agak keras dan menyebabkan punggung mula rasa pedih selepas setengah jam menunggang.
Kesemua ini saya rasakan akibat struktur ketinggian saya (183cm = 6 kaki), maka dari segi keselesaan penunggangan, ianya agak terkompromi dan membuat saya gagal merasakan keseronokan penunggangan pada jarak dan waktu yang panjang. Saya jangkakan, sekiranya satu tolok pengukur untuk membandingkan antara ketiga-tiga jenama skuter maxi yang paling popular di tanahair, Modenas Elegan 250 EX ini dengan mudah berada di tengah apabila mengambil kira prestasi enjin serta keselesaan penunggangan.
Penggunaan meter analog dengan sedikit paparan digital LCD monochrome, agak sedikit membosankan serta penggunaan kunci untuk menghidupkan enjin agak dirasakan ketinggalan zaman. Sejak 2 tahun ini, hampir semua model-model baru pelbagai jenama menggunakan sistem ‘keyless’ dan penggera jarak jauh.
Harga pasaran yang terkini berada dalam lingkungan RM17,000 sebelum kos cukai jalan, insurans dan pendaftaran, serta boleh dipilih antara skim warna kelabu dan biru, MODENAS ELEGAN 250 EX ini bakal menjalankan tanggungjawabnya membawa anda dari point A ke point B dengan “keanggunan”(Elegance). – UTUSAN