Koraya sasar RM30 juta pembiayaan kepada kontraktor perumahan - Utusan Malaysia

Koraya sasar RM30 juta pembiayaan kepada kontraktor perumahan

ROZAIDI Abdullah (tiga Dari kanan) bersama tetamu semasa majlis berbuka puasa di Kota Bharu, Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Koperasi Arash Jaya Kelantan Berhad (Koraya) menyasarkan pembiayaan patuh syariah sebanyak RM30 juta kepada kontraktor perumahan menjelang akhir tahun 2023.

Pengurusnya Rozaidi Abdullah berkata, pembiayaan itu memberi fokus kepada kontraktor perumahan dimana pembelinya sudah mendapat kelulusan pembiayaan oleh Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) atau bank.

Menurutnya, sehingga kini hampir RM20 juta pembiayaan telah disalurkan kepada kira-kira 400 permohonan kontraktor perumahan di negeri-negeri Pantai Timur yang berdepan kekangan aliran tunai disebabkan Covid-19 lalu.

“Koraya satu-satunya koperasi yang menawarkan pembiayaan jangka pendek bagi sektor kontraktor perumahan di negara ini. Bagaimanapun menurut kontraktor mereka kurang diberi perhatian oleh institusi kewangan lain berikutan risiko kredit yang tinggi.

“Kelompongan tersebut diisi oleh kami bagi membantu kontraktor perumahan mendapatkan pembiayaan jangka pendek demi kelancaran aliran tunai syarikat dan memastikan projek perumahan dapat disiapkan,” katanya dalam satu kenyatan di sini semalam.

Rozaidi memberitahu, kemudahan pembiayaan patuh syariah merangkumi latihan pengurusan projek bagi membantu aliran tunai syarikat dan kerja-kerja di tapak pembinaan berjalan mengikut jadual.

Katanya, ini berikutan harga bahan binaan dan kos buruh yang semakin tinggi.

“Sekiranya gagal disiapkan dalam masa yang ditetapkan, akan menyebabkan lebih banyak projek terbengkalai dan merugikan negara secara keseluruhannya,” ujarnya.

Rozaidi berkata, sepanjang tahun lalu lebih RM10 billion pembiayaan telah diluluskan oleh Lembaga Perumahan Pembiayaan Sektor Awam (LPPSA).

Katanya, pada masa sama hampir RM160 billion diluluskan oleh institusi kewangan iaitu bank.

“Jika industri kontraktor perumahan hanya merangkumi 10 peratus sahaja dari keseluruhan transaksi, peluang menggerakkan ekonomi industri pembinaan sudah cukup besar dan secara tidak langsung memberi manfaat kepada lebih 30 sektor lain terutamanya di luar bandar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya