MOTOSIKAL Ducati boleh dikatakan adalah sebuah ‘Ferari’ beroda dua. Kedua-duanya jenama Itali, tanda harga yang bukan mampu milik oleh kebanyakan masyarakat, diminati oleh pencinta kelajuan, didatangkan dengan prestasi jentera yang tiada tolok banding, serta keselesaan bukanlah faktor tarikan utama jenama ini.
Tahun 2022 boleh dikatakan sebagai tahun keramat Ducati Italia apabila mereka memenangi kedua-dua perlumbaan motosikal dunia iaitu apabila menjadi juara di kejohanan MOTOGP dan juga kejohanan WSBK. Sebut sahaja nama PANIGALE, para peminat Ducati atau motosikal akan membayangkan sebuah motosikal “sports” yang begitu sinonim dengan rupa bentuk fizikal dan prestasi enjin yang begitu hampir dengan sebuah motosikal lumba.
Namun begitu, ada sesetengah golongan yang masih inginkan prestasi jentera dan penunggangan yang hampir serupa, tetapi tidak ingin menanggung perbelanjaan lebih, samada dalam penyelenggaraan bahagian-bahagian “fairings” dan “cowlings”, terutamanya jika berlaku kemalangan. Mungkin juga estetika selera sesetengah pencinta dua roda yang maukan versi yang lebih ‘terbuka’ sambil menampakkan struktur enjin, casis untuk penampilan yang lebih ‘ganas’ dan ‘jahat’ atas jalanraya.
Umum mengetahui terdapat dua versi Panigale dan Streetfighter ini iaitu versi V4 dan satu lagi V2. Secara ringkasnya, V2 adalah versi yang lebih rendah kuasa dan prestasi enjinnya serta harga jualan yang lebih rendah berbanding di antara keduanya. Maka versi ‘naked’ ini dikenali dengan nama model Streetfighter.
Perbezaan utama sudah tentulah mengenai rupa fizikalnya yang lebih ‘bogel’ serta bar handelnya adalah jenis sebatang aluminium dan berupa klasik. Kedudukan penunggangnya juga lebih menegak berbanding Panigale, ditujukan untuk penggunaan di atas jalan raya, urban, serta keadaan dunia sebenar.
PENUNGGANGAN
Walau ianya tercipta untuk penunggangan yang kurang sporty atau kurang ekstrim, namun dengan hanya merubah sedikit punggung anda ke belakang, anda bakal mendapati posisi penunggangan akan menjadi lebih tertunduk. Walau tak setunduk motor ‘sports’, tetapi tekanan pada pergelangan tangan dan bahagian tengah di antara piring belikat tetap terasa. Tempat pemijak kaki juga agak tinggi dan sekaligus membayangkan kebolehan jentera ini untuk ‘meleper’ ketika di dalam selekoh.
Pulas kunci dan tombol suis untuk menghidupkan enjin, bunyi enjin V-berkembarnya yang sinonim dengan nama Ducati sejak zaman berzaman berkumandang daripada corong ekzos uniknya. Gegaran daripada enjin, samada ketika keadaan melahu atau pun ketika bergerak mencari kuasa pecutan, akan hanya dihargai para pencinta sejati. Ducati tidak pernah menyembunyikan tentang getaran yang bakal dirasakan samada daripada enjin, bar pemegang atau pun di pemijak kaki. Namun begitu, getaran ini tidak pula mengganggu kestabilan ketika pengambilan selekoh di kelajuan yang tinggi, sama juga ketika memecut di laluan lurus untuk memenuhi kehendak nafsu mencapai kelajuan lebih 200kmj.
Sistem suspensi boleh laras sepenuhnya, menggunakan jenama Showa dan bersaiz 43mm untuk penyerap hentakan jenis terbalik (upside down forks) di hadapan, dan jenis Sachs sebagai penyerap hentakan tunggal belakang. Kedua-dua sistem suspensi ini, walaupun dirasakan sedikit tegar, tetapi ianya tidak menyakitkan penunggangannya, serta memberikan kestabilan yang amat tinggi samada dilaluan lurus atau dalam selekoh tajam. Sementara itu, jenama brek yang juga sinonim dengan jentera Ducati, Brembo, menggunakan jenis kaliper monoblok berkembar M4.32 yang ‘menggigit’ cakera brek berkembar hadapan bersaiz 320mm setiap satu. Sekiranya disemak dengan lebih terperinci, pad brek yang digunakan adalah jentera Streetfighter ini adalah kompaun yang sedikit rendah tahapnya berbanding Panigale V2.
Antara faktor yang turut menambah kestabilan penunggangan Ducati Streetfighter V2 ini adalah lengan ayunnya (swing arm) adalah jenis tunggal (single sided) tetapi berukuran 16mm lebih panjang berbanding Panigale.
KESIMPULAN
Jentera Itali ini bukan untuk semua ‘biker’, selain daripada harganya yang mencecah RM112,500 sebelum cukai jalan, insurans dan pendaftaran, model ini tidak memberikan keselesaan pada penunggangannya. Malah perkataan santai bukanlah untuk model ini. Walau ianya lebih ‘jinak’ dibandingkan Panigale, ianya tidak bermakna sebuah motosikal yang boleh digunakan untuk menghantar anak ke sekolah, atau untuk kegunaan riadah di sekitar taman perumahan.
Sifatnya yang tidak sesuai ditunggang perlahan, suhu panas daripada kedudukan corong ekzos yang berlingkaran di bawah tempat duduk dan celah peha anda sebaik sahaja selepas 15 minit penunggangan, penggunaan petrol yang agak tinggi, tahap sudut radius pusingan handel yang besar menyukarkan untuk membuat pusingan U, malah, dengan harga yang beratus ribu ini, tolok penanda tahap petrol dalam tangki yang bersaiz 17 liter ini pun tidak disertakan!!!
Walau selepas membentangkan seluruh keburukan Ducati Streetfighter V2 ini, sebagai seorang pencinta motosikal sejati, anda tetap mahukannya sebagai kuda tunggangan milik anda. Prestasi penunggangan, kekuatan enjin, rekaan kosmetik serta imej dan jenama DUCATI menyebabkan golongan mental tidak sihat seperti saya ini (mat motor), tidak akan berpikir banyak kali seandainya faktor duit bukanlah kekangan. – UTUSAN