PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menempatkan hampir 9,400 kakitangannya di pelbagai peringkat dalam menjamin kestabilan bekalan elektrik di Semenanjung Malaysia sempena Hari Raya Aidilfitri kali ini.
Pengerusi TNB, Datuk Abdul Razak Abdul Majid berkata, penugasan giliran dan tunggu sedia itu dilakukan di stesen-stesen janakuasa, pusat kawalan dan seluruh rantaian perkhidmatan termasuk grid dan pencawang.
Menurut beliau, ia bertujuan memastikan kelancaran penghantaran dan pembahagian bekalan elektrik serta siap siaga memberi perkhidmatan pelanggan disamping memastikan mereka selesa menyambut Syawal kali ini.
“Walaupun tugasan ini adalah rutin harian warga kerja di bahagian perkhidmatan masing-masing, namun ia adalah satu pengorbanan tatkala orang ramai ceria menyambut Aidilfitri bersama keluarga, sedangkan mereka bertugas di lapangan.
“Penugasan sebegitu ramai tenaga kerja mengambil kira tempoh kritikal 72 jam bermula sehari sebelum 1 Syawal, berikutan penggunaan tenaga elektrik dijangka meningkat ketika orang ramai rancak membuat persiapan akhir terutama pada malam Aidilfitri,” katanya dalam satu kenyataan.
Ekoran itu, bagi menghargai sumbangan warga kerja terlibat, TNB mengekalkan tradisi menitipkan bingkisan kuih raya sebagai tanda penghargaan.
Persatuan Wanita TNB (Pelitawanis) dari cawangan sekitar Semenanjung Malaysia berganding bahu menyiapkan hampir 9,400 pek bingkisan kuih raya minggu lalu.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, pemantauan di setiap negeri khususnya dalam bidang teknikal ditingkatkan menjelang Syawal.
Katanya ia berikutan jangkaan umat Islam pulang lebih awal ke kampung halaman, selain mereka yang mengambil peluang melancong sempena cuti panjang hujung minggu.
“Bersamalah kita doakan agar mereka yang bertugas ini sentiasa sihat dalam menyempurnakan amanah dengan selamat demi keselesaan semua.
“Terima kasih kerana sentiasa komited memikul tanggungjawab ini yang juga adalah satu ibadah atas kepentingan umum,” katanya. – UTUSAN