Toyota Vios baharu - bukan lagi Vios yang anda kenali - Utusan Malaysia

Toyota Vios baharu – bukan lagi Vios yang anda kenali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KERETA yang dipasarkan dalam segmen B ialah kereta yang diklasifikasikan sebagai kereta yang digunakan oleh kebanyakan pengguna jalan raya tempatan. Boleh dikatakan sebagai kereta kelas pertengahan atau kereta dari segmen mampu milik. Selalunya kereta-kereta dalam kelas ini mempunyai ciri-ciri sebuah kereta sedan, kadar penumpang seramai 5 orang, mempunyai ruang simpanan barangan yang luas, ruang kabin yang agak selesa dan kapasiti enjinnya tidak melebihi 1.8 atau 2.0cc.

Kategori ini selalunya didominasi oleh model-model daripada pembuat kereta nasional seperti Proton Persona, Proton Saga atau Perodua Bezza. Namun bagi pembuat kereta bukan jenama nasional pula, Toyota kerap menjadi perhatian. Model Vios mula menjadi sebutan dan pilihan ramai sejak 2003 dan sering dibandingkan dengan Honda City dan Nissan Almera.

SEJARAH VIOS

Generasi pertama (2003)

Mula dipasarkan kepada rakyat tempatan pada  2003, generasi pertama Vios ini sering dikatakan sebagai Toyota Corolla Altis yang diperkecilkan. Begitupun ia masih bertentangan hebat dengan generasi kedua Honda City. Generasi pertama Vios ini masih kelihatan kukuh dipergunakan di jalan raya tempatan.

Generasi kedua (2007)

Jika dilihat daripada rekaan fizikal, Vios generasi kedua ini kelihatan sedikit ‘berisi’ berbanding versi pertamanya. Dikenali ramai dengan nama timangan “dugong”, masih menggunakan enjin yang sama tetapi dipertingkatkan dengan sistem aruhan udara baru dan kotak gear automatik 4 kelajuan bagi yang memilih untuk tidak lagi mahu menggunakan sistem gear manual.

Generasi ketiga (2013)

Versi ketiga ini mendapat 3 peringkat penambahbaikan samada dari segi enjin mahupun rekaan kosmetik. Vios generasi ketiga ini tampak lebih “tajam”, lebih “bersegi” namun tetap menggunakan enjin 1.5 1NZ-FE. Pada sekitar 2016, Vios dilengkapi dengan enjin baharu iaitu 2NR-FW VVT berkembar. Mempunyai sistem kotak gear CVT beserta dengan 7 gear virtual. Pada 2019, Vios sekali lagi menerima naik taraf baru iaitu memilih “jalan tengah” di antara rekaan “Si Dugong” yang agak ‘bulat’ dengan generasi ke 3 yang agak terlalu ‘bersegi’.

 

GENERASI KEEMPAT (2023) – HASIL PANDU UJI.

Ternyata, ini bukanlah Vios yang anda kenali. Inilah Vios yang serba baharu, luar dan dalam, mekanikal dan juga elektrikal. Uji pandu yang dilakukan terhadap versi terbaru di Langkawi baru-baru ini agak memeranjatkan hasil ujiannya. Dari segi pemanduan dan pengendalian, sistem suspensinya sangat menyerlah sekali dengan kebolehan menyerap hentakan ketika berada di jalanraya yang tidak rata, dan kestabilan keseluruhan kenderaan ketika dipandu secara agresif melalui laluan-laluan berliku, naik dan turun dari Gunung Raya.

Setelah membuat pertanyaan kepada pegawai teknikal Toyota, ternyata akibat daripada penggunaan platform baharu yang lebih teguh dan stabil, di samping pengurangan berat keseluruhan pada tahap optimum dan rekaan lebih padat. Ini antara sebab utama yang menyokong kesetabilan dan keselesaan keseluruhan pemanduan Vios baharu ini. Tayar Continental yang bersaiz 17 inci mampu memberikan ‘gigitan’ pada setiap selekoh yang diambil sekurang-kurangnya buat 1,500 kilometer (km) pertama.

Faktor kedua yang menarik perhatian saya ialah sistem bantuan pemanduan elektronik yang disertakan pada Vios terbaharu ini. Terus terang saya katakan dalam penulisan saya kali ini, sistem bantuan pemanduan elektronik ini sangat jarang dapat dijumpai dalam kereta segmen B ini. Apalagi pada kereta yang dipasarkan di bawah harga RM100,000!

Sistem-sistem ini hampir serupa seperti kereta-kereta mewah buatan Eropah atau pun kereta-kereta ‘kayangan’, sebagai contoh:

Pre-Collision System (PCS) – SISTEM PENCEGAH PERLANGGARAN

Mengesan potensi perlanggaran dengan kenderaan atau pejalan kaki di hadapan kenderaan anda melalui kamera yang tersedia, dan memberikan tindak balas pemberhentian secara automatik bagi mengurangkan kesan perlanggaran atau mengelakkannya sekaligus.

Adaptive Cruise Control (ACC) – Pengendalian Pengawalan Pergerakan

Mengesan kelajuan dan jarak kenderaan di hadapan serta kemudian melaraskan kelajuan kenderaan anda secara automatik untuk berada dalam jarak yang selamat di belakang kenderaan tersebut.

Front Departure Alert (FDA) – Pengesan Pergerakan Kenderaan hadapan.

Peringatan (audio) apabila kenderaan di hadapan anda sudah bergerak. Fungsi yang amat relevan pada masakini kerana sudah menjadi kebiasaan pemandu akan mencapai telefon bimbit sebaik sahaja tiba di lampu isyarat. Sering terjadi pemandu terlalu asyik dengan telefon mereka sehingga tidak perasan kenderaan di hadapan telah jauh bergerak setelah lampu hijau!

Lane Departure Warning (LDW), Lane Departure Prevention (LDP), Lane Keeping Control (LKC) juga turut berada dalam sistem bantuan pemanduan elektronik Vios 2023 ini yang membantu pemandunya berada dalam laluan yang betul, bermula dengan peringatan audio, dan seterusnya memperbetulkan stereng secara automatik untuk kembali ke bahagian tengah. Sistem ini juga terpakai ketika dalam selekoh-selekoh yang biasa.

Pedal Misoperation Control (PMC) – Kawalan Salah Guna Pedal

Antara keupayaan bantuan elektronik yang sangat menarik untuk Vios 2023 ialah sistem ini dikatakan mampu mengesan sekiranya terdapat halangan di hadapan kenderaan anda dan pedal minyak tersebut telah ditekan (kejadian yang selalu berlaku terhadap pemandu warga emas atau mereka yang kurang pengalaman, tertekan pedal minyak dan bukan brek!) Enjin kenderaan akan disekat dan brek mencengkam secara otomatik apabila sistem mengesan terdapat halangan dan penggunaan pedal dilakukan secara luar kebiasaan.

KESIMPULAN

Tiga faktor utama yang mungkin bakal diperdebatkan oleh para ‘haters’ ialah ketiadaan roda/tayar kecemasan/spare, ketidakupayaan melipat barisan kerusi belakang dan rekaan “sportrims”nya. Dua faktor pertama adalah disebabkan faktor ingin mengurangkan berat keseluruhannya, tambahan pula, Toyota telah membuat kajian mereka sendiri yang mana rata-rata pemilik kereta di Asia, tidak pandai menukar tayar/roda sendiri dan lebih memilih untuk towing. Oleh kerana itu, “tyre repair kit” dibekalkan untuk membolehkan tayar anda yang bocor itu digunakan untuk bergerak ke bengkel berdekatan. Kebolehan melipat tempat duduk belakang juga jarang-jarang digunakan, maka Toyota merasakan lebih praktikal dengan adanya ruang penyimpan barangan besar dan mempunyai ruang-ruang penyimpan ‘tersembunyi’ untuk kemasan akhir yang lebih menarik.

Berkenaan rekaan roda Vios pula, rakyat Malaysia tidak pernah ‘kepayahan’ untuk mencari kedai sport rims di ceruk mana pun dalam negara.

Toyota Vios baharu ini, ternyata bukanlah model yang dipertingkatkan secara ‘face-lift’, tetapi adalah sebuah model yang diperbaharui rekaan sepenuhnya dan ditambah baik dengan sistem bantuan elektronik yang begitu banyak, sehingga saya tidak dapat menyenaraikan sepenuhnya dalam artikel kali ini.

Oleh itu, saya serahkan kepada anda untuk mengkajinya sendiri dengan melawat pusat-pusat pameran Toyota yang berdekatan dengan anda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya