MELAKA: Kerajaan negeri menegur sikap segelintir pemain industri perhotelan yang menaikkan harga bilik sehingga membebankan pelancong.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Melaka, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, beliau mendapat aduan bahawa tindakan tersebut dilakukan hotel terutama yang bertaraf tiga bintang.
Menurut beliau, tindakan itu dipercayai bagi menampung perbelanjaan bulanan yang tinggi selain terdapat beberapa masalah lain membelenggu hotel-hotel terlibat.
“Ada hotel yang tidak membuka sepenuhnya tempahan bilik dan beroperasi antara 50 hingga 70 peratus daripada kapasiti penuh. Jadi mereka menaikkan harga bilik untuk menampung kos operasi, tetapi saya harap perkara ini tidak akan berlaku pada tahun depan.
“Pada masa sama, sektor perhotelan berdepan kekurangan pekerja yang mengguna pakai konsep latihan industri terutama dari Indonesia kerana had kemasukan yang dikenakan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN). Saya harap kementerian dapat memberi kelonggaran terhadap isu ini.
“Itu antara sebab mengapa ada sesetengah hotel menaikkan harga, sekali gus menekan pelancong yang datang ke Melaka. Apabila tertekan, mereka akan membuat hantaran negatif dalam media sosial yang akhirnya mencemarkan imej pelancongan negeri,” katanya dalam sidang akhbar ketika Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.
Dalam pada itu, mengenai Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024, Muhammad Jailani berkata, kerajaan negeri menyasarkan kehadiran pelancong seramai 18.7 juta orang yang dijangka memberi hasil sebanyak RM23.4 bilion.
Katanya, unjuran itu berdasarkan penganjuran 19 acara utama yang akan dilaksanakan sepanjang tahun depan bagi menarik lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa. – UTUSAN