Perniagaan, industri lengkapi perumahan Bandar Saujana Putra - Utusan Malaysia

Perniagaan, industri lengkapi perumahan Bandar Saujana Putra

MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor (tiga kanan) bersama Tunku Mohamad Zulkifli Osman (dua kiri) dan Syed Yussof Syed Othman (kiri) serta tetamu kenamaan melakukan gimik perasmian majlis pecah tanah projek Bandar Saujana Putra di Amanjaya Mall, Sungai Petani. -UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Pembangunan kira-kira 60 peratus komponen industri dan perniagaan menjadi nilai tambah kepada bakal pembeli perumahan di Bandar Saujana Putra, di sini termasuk kediaman yang tergolong dalam kategori hartanah mampu milik.

Projek yang diusahakan di atas tanah milik Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) seluas 484.12 hektar dan 80 hektar lagi tanah Oriental Interest Berhad (OIB) itu merekodkan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM2.5 billion.

Malah, pembangunan yang disasar siap secara keseluruhan dalam tempoh 10 tahun itu turut memberi impak positif terhadap pembangunan daerah Kuala Muda yang secara tidak langsung boleh menarik minat pelabur untuk berkunjung ke Kedah.

Pengerusi OIB, Tunku Mohamad Zulkifli Osman berkata, pihaknya akan membangunkan projek Bandar Saujana Putra secara usahasama dengan PKNK itu bermula suku tahun kedua 2024 bagi pembangunan fizikalnya.

“Komponen utama pembangunan projek ini adalah 40 peratus pembangunan perumahan, manakala baki 60 peratus lagi merangkumi pembangunan untuk lot-lot industri dan perniagaan.

“OIB sentiasa memberi penekanan kepada pembangunan infrastruktur yang berkualiti terutama di lot-lot industri dan ianya diyakini mampu menarik minat pelabur dari dalam dan luar yang secara tidak langsung mampu membantu meningkatkan ekonomi negeri Kedah,” katanya pada majlis pecah tanah projek itu di Amanjaya Mall, baru-baru ini.

Bagi segmen perumahan, sebanyak 5,400 unit rumah kediaman yang sebahagiannya adalah rumah mampu milik akan dibangunkan kepada pembeli yang berminat.

Daripada jumlah itu, sebanyak 1,100 unit daripadanya adalah Rumah Kasih Rakyat diikuti 664 unit Rumah Makmur Kedah serta 500 unit lagi merupakan Rumah Aman Kedah.

Di samping itu, sebanyak 1,855 unit rumah teres setingkat turut akan dibangunkan selain 1,318 unit lagi bagi rumah berkembar setingkat.

Tunku Mohamad Zulkifli berkata, pembangunan yang berkualiti diyakini boleh membuka ruang kepada generasi muda menceburi bidang-bidang berkaitan yang terhasil daripada limpahan ekonomi hasil projek-projek berkenaan.

“Sehingga kini sebanyak 128 hektar tanah simpanan atau ‘land bank’ kami di kawasan Amanjaya, Sungai Petani telah dimajukan, membabitkan sebanyak 2,956 unit buah rumah yang telah diberi pemilikan kosong kepada pembeli-pembeli hartanah kami.

“Ini selaras dengan iltizam kami untuk terus menyokong dan mendokong visi memajukan projek perumahan ‘mampu milik’ secara usaha sama yang membabitkan kerjasama erat antara sektor awam dan swasta,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PKNK, Syed Yussof Syed Othman berkata, komponen industri akan menawarkan 230 lot tanah industri berkonsepkan taman perindustrian yang lengkap dengan prasarana asas, sistem kawalan keselamatan, kafeteria, pusat riadah, dewan serbaguna serta Penginapan Pekerja Berpusat (CLQ).

“Untuk komponen komersial, sebanyak 40 unit ruang perniagaan yang akan memberi sokongan kepada persekitaran bandar ini yang kondusif dan berdaya huni akan ditawarkan sebagai pelengkap kepada pembangunan Bandar Saujana Putra,” katanya.

Tambah Syed Yussof, Bandar Saujana Putra yang berkonsepkan bandar bersepadu itu dijangka siap sepenuhnya pada suku tahun keempat 2032. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya