Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) membangunkan formula untuk mengira bilangan tenaga buruh yang menganggur daripada tiga sumber data menggunakan rumus bilangan penganggur iaitu U=T-E+R+ε.
Daripada pangkalan data ASSIST PERKESO, jumlah pekerja (E) terdiri daripada data majikan dan pekerja daripada lima sektor utama, pangkalan data MATRIX PERKESO menyediakan data pekerja sendiri dan pekerja sektor awam dianggarkan berjumlah 1.6 juta orang.
Faktor Risiko (R) juga dirumus daripada pangkalan data PERKESO ASSIST berdasarkan jurang pekerjaan yang timbul semasa kejutan ekonomi. Sebagai rujukan kepada jumlah tenaga buruh (T), data daripada DOSM digunakan.
Oleh itu, jumlah penganggur (U) dapat dirumus daripada formula di atas. Untuk mengira peratus kadar pengangguran, jumlah bilangan penganggur dibahagikan dengan jumlah tenaga buruh dan diarabkan dengan 100. Data bulanan sejak Januari 2016 digunakan untuk membuat ramalan.
Daripada Rumus Bilangan Penganggur, ramalan jumlah orang yang bekerja boleh diperolehi dan berdasarkan ramalan tersebut, prospek pekerjaan bagi lima sektor utama boleh dihuraikan seperti berikut.
1.Sektor Pertanian meningkat di antara 5.8 peratus dan 6.8 peratus, pembuatan di antara 4.9 peratus dan 5.9 peratus dan perkhidmatan dijangka meningkat di antara 2.8 peratus dan 3.8 peratus.
2.Sektor pembinaan dan perlombongan dan kuari dijangka meningkat di antara 0.0 peratus dan 1.0 peratus.
Sejak 1997 hingga hari ini, kejutan ekonomi yang mencatatkan perubahan ketara terhadap Peratus Kadar Pengangguran (UR%) ialah Krisis Kewangan Asia, Kejatuhan Tech Bubble, Krisis Kewangan Global, Perubahan Iklim, Pandemik Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Pandemik Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Kejutan ekonomi boleh digunakan untuk mengukur, secara konservatif, potensi Risiko Pekerjaan (R) kepada Rumus Bilangan Penganggur. Sekiranya berlaku kejutan ekonomi pada 2023, Faktor Risiko berdasarkan peristiwa yang hampir sama boleh ditambah kepada kadar pengangguran yang telah diramalkan.
Isu pengangguran dalam negara turut mendapat perhatian Menteri Sumber Malaysia, V. Sivakumar, dengan pembukaan sektor ekonomi yang menyeluruh bakal meningkatkan peluang pekerjaan.
“Kadar pengangguran bagi 2023 dijangka menurun daripada 3.5% kepada 3.2%. Semua sektor utama ekonomi diramal mencatat pertumbuhan pekerjaan positif dengan sektor pertanian sebagai penyumbang tertinggi iaitu 5.8% hingga 6.8%,” kata beliau
Mengambil Krisis Kewangan Global sebagai contoh, eksport Malaysia menyaksikan penurunan mendadak apabila pasaran kewangan global mengalami tekanan melampau yang berpunca dari Amerika Syarikat. Pekerjaan dalam tempoh tersebut merosot, terutamanya memberi kesan kepada sektor Pembuatan dan Pertanian, serta sektor Perkhidmatan.
Memandangkan keputusan ramalan untuk 12 bulan akan datang tanpa mengambil kira sebarang kejutan ekonomi menunjukkan bahawa kadar pengangguran akan menurun daripada 3.5 peratus kepada 3.2 peratus pada tahun 2023, anggaran impak sesuatu peristiwa menyerupai Krisis Kewangan Global akan menyebabkan anggaran kenaikan 0.9 peratus mata kepada peratusan kadar pengangguran.
Memandangkan ini adalah usaha pertama PERKESO untuk membuat unjuran ramalan ke atas elemen pasaran buruh, kami menggunakan pendekatan yang agak konservatif dalam pengiraan, dan kami turut melibatkan pakar luar di dalam bidang Pasaran Buruh untuk menambah baik model ramalan. PERKESO merancang untuk menerbitkan laporan ini secara berkala pada masa hadapan. – UTUSAN