Nur Hanim pemilik bakeri berjaya, mampu jana lima angka - Utusan Malaysia

Nur Hanim pemilik bakeri berjaya, mampu jana lima angka

nur Hanim Mansor menunjukkan antara kek istimewa yang ditempah pelanggan di kedainya di Kangar, Perlis.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIAPA sangka bermula sekadar suka-suka menyediakan tempahan kek untuk rakan-rakan terdekat dan pensyarah semasa zaman belajar di Universiti Malaysia Perlis (Unimap), kini Nur Hanim Mansor,29, sudah membuka sebuah kedai kek sendiri dan mampu menjana pendapatan sehingga RM10,000 sebulan.

Malah, anak sulung daripada dua beradik yang merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Keusahawanan Kejuruteraan itu juga sanggup menolak tawaran kerja sebagai pengurus sebuah kilang di Johor selepas tamat pengajian sekitar 2014 bagi memberi sepenuh tumpuan kepada perniagaan kek berkenaan.

Pemilik Hanimlicious Bakery di Jalan Raja Muda, Kangar, Perlis itu, berkata, selepas menamatkan pengajian dalam bidang kejuruteraan di Unimap, dia terus fokus membuat kek bermula dari rumah bagi memenuhi permintaan pelanggan.

Katanya, dia sememangnya sangat minat membuat kek yang akhirnya menjadi sumber pendapatan.

Ujar Nur Hanim, terdapat pelbagai jenis kek dijual di kedai yang beroperasi sejak tahun lalu itu selain dia turut menyediakan kek mengikut permintaan para pelanggan.

ANTARA kek yang ditempah oleh pelanggan.

“Setiap bulan ratusan kek terjual dengan pendapatan pula sekitar RM10,000 sebulan. Alhamdulillah, permintaan terhadap kek di kedai saya sentiasa ada setiap hari.

“Kami juga menyediakan pelbagai jenis rekaan kek yang dimahukan pelanggan dan menjanjikan kepuasan kepada mereka,” katanya.

Tambah Nur Hanim, tempahan yang sering diterima membabitkan majlis-majlis ulang tahun kelahiran dan perkahwinan di sekitar negeri ini dan Kedah.

Katanya, harga kek yang dijual pula serendah RM30 sehingga RM3,500 antaranya membabitkan penyediaan kek lima tingkat.

NUR HANIM Mansor dihadapan kedainya, Hanimlicious Bakery di Kangar, Perlis yang menghasilkan pelbagai jenis kek ditempah pelanggan.

Ujarnya, meskipun bukan bekerja dalam bidang kejuruteraan, namun tekadnya mengusahakan perniagaan sendiri turut berjaya membuahkan hasil dalam menjana pendapatan.

“Saya memang minat membuat kek dan pada mulanya belajar sendiri dengan menyediakan tempahan dari rakan-rakan terdekat dan pensyarah di universiti. Bermula secara kecil-kecilan dan saya terus berusaha mengembangkan perniagaan ini.

“Alhamdulilah perniagaan kek ini semakin berkembang pesat dari hari ke hari. Bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat, saya juga dibantu oleh tiga orang pekerja,” katanya.

Tambah Nur Hanim, antara kek yang mendapat tumpuan adalah kek tornado, custom kek dan pelbagai jenis lagi mengikut permintaan.

Sementara itu, dia juga pernah menerima tempahan kek daripada Raja Muda Perlis dan beberapa lagi selebriti tempatan.

Sementara itu, katanya, dia meletakkan sasaran untuk membawa jenama kedai keknya itu di pasar raya-pasar raya sekitar negeri ini.

“Dalam masa terdekat belum ada cadangan menambah cawangan namun usaha tersebut mungkin untuk tempoh jangka panjang selepas ini, insyaAllah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya