PETALING JAYA: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangka berdepan cabaran untuk memberi agihan dividen yang tinggi kepada pencarum pada tahun ini, menurut penganalisis.
Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, selain kemelesetan ekonomi global, keputusan Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) yang tetap tidak mahu menghentikan kenaikan kadar faedah walaupun sudah pada aras yang tinggi juga akan memberi impak kepada dividen tahun ini.
“Kenaikan peratusan eksport negara yang perlahan pada Januari lalu menjadi penanda aras arah ekonomi global dan Malaysia perlu bergantung kepada ekonomi domestik untuk membangunkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara kepada 4.5 peratus seperti yang disasarkan oleh kerajaan.
“Bagaimanapun, masih terlalu awal untuk memberikan unjuran dividen KWSP untuk tahun ini. Saya mengharapkan ekonomi negara akan lebih mantap pada suku ketiga dan keempat tahun ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas mengenai dividen yang diumumkan KWSP untuk tahun kewangan 2022, Aimi Zulhazmi berkata, dividen yang diumumkan itu adalah munasabah kerana ia berdasarkan situasi pasaran kewangan global dan tempatan.
Jelasnya, jika dibandingkan ketika dilanda pandemik Covid-19 pada 2021 dengan tahun lalu ketika negara memasuki fasa endemik, nilai ringgit secara purata merosot dan Bursa Malaysia turut memberikan prestasi yang lemah.
“Misalnya, nilai ringgit berbanding mata wang dolar AS pada 31 Disember 2021 adalah RM4.17, berbanding RM4.40 pada 30 Disember 2022, sementara Bursa Malaysia pula indeksnya menurun pada tempoh yang sama.
“Ini berikutan perubahan pasaran kewangan dunia pada Mac 2022, dengan Fed AS mula menaikkan kadar faedahnya secara mendadak dari 0 peratus sehingga 4.75 peratus pada Disember 2022.
“Kenaikan kadar faedah itu dilakukan berikutan keinginannya untuk menangani kenaikan kadar inflasi yang meledak terutama setelah berlaku peperangan antara Russia dan Ukraine pada Februari 2022.
“Kenaikan kadar faedah ini menyebabkan pemulihan ekonomi pada 2022 terencat sekali gus menganggu pasaran ekuiti dunia dan Malaysia, menyebabkan strategi pelaburan para pengurus dana termasuk KWSP tidak ampuh dan perlu diubah-ubah.
“Justeru, saya berpendapat dividen kali ini munasabah kerana ia didorong situasi pasaran global dan semasa,” katanya.
KWSP telah mengumumkan agihan dividen sebanyak 5.35 peratus bagi Simpanan Konvensional dan 4.75 peratus untuk Simpanan Sariah bagi tahun 2022.
Kadar dividen itu lebih rendah berbanding 2021, yang mana dividen bagi Simpanan Konvensional sebanyak 6.10 peratus dan 5.65 peratus untuk Simpanan Shariah.
Kadar itu juga adalah terendah sejak 2020 bagi Simpanan Konvensional (5.20 peratus) dan terendah bagi Simpanan Shariah, sejak skim ini mula diperkenalkan pada 2017.
Menurut KWSP, jumlah pembayaran bagi keseluruhan dividen bagi 2022 adalah sebanyak RM51.14 bilion kepada 15 juta ahli, dengan Simpanan Konvensional sebanyak RM45.44 bilion, manakala Simpanan Shariah sebanyak RM5.7 bilion. – UTUSAN