Hotel Premiera terima sijil halal untuk bufet Ramadan - Utusan Malaysia

Hotel Premiera terima sijil halal untuk bufet Ramadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pensijilan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dijangka akan menjadi pendorong utama untuk menarik lebih ramai pelanggan untuk berbuka puasa pada bufet Ramadan di Hotel Premiera Kuala Lumpur.

Pengurus Besar Hotel Premiera Kuala Lumpur, Johari Abu Jalil berkata, Jakim sudah membuat pemeriksaan ke hotel sebanyak dua kali sebelum ini dan akhirnya telah diberikan pengiktirafan halal kira-kira awal bulan ini.

“Pemeriksaan ini penting kerana mereka memeriksa dari mula-mula barang yang kami terima, penyimpanan dan sehingga di restoran. Selepas semuanya memenuhi syarat-syarat, barulah kami mendapat pengiktirafan.

“Kami yakin, pensijilan halal ini akan menjadi daya tarikan dan pendorong utama yang bakal menarik orang ramai terutamanya pada bufet Ramadan pada tahun ini,” katanya pada majlis previu bufet Ramadan hotel tersebut di sini baru-baru ini.

Sementara itu, beliau berkata, bertemakan “Selera Orang Kita”, bufet Ramadan pada tahun ini akan dihidangkan dengan sajian tradisi dari pelbagai negeri yang digemari oleh kebanyakan masyarakat Malaysia tanpa mengira agama, bangsa dan budaya.

Menurutnya, antara hidangan istimewa yang disediakan adalah siakap stim Thai istimewa dimana ikan siakap segar akan dikukus bersama-sama dengan bahan-bahan dan rempah-ratus terpilih.

“Di samping itu, terdapat juga ‘sup gear box enam sekawan’ yang telah menjadi antara kegemaran dan tarikan setiap pengunjung serta kambing bakar yang diperap istimewa dan dibakar dengan kayu
arang.

“Masakan kampung dari pelbagai negeri juga dihidangkan seperti nasi kandar, gulai daging dengan rebung, gulai tempoyak ikan patin, ikan masak singgang serta ayam kalio,” ujarnya.

Tambahnya, setakat ini, sambutan dari segi tempahan adalah memberangsangkan dan terdapat juga tempatan daripada syarikat-syarikat untuk majlis persendirian.

Jelanya, bufet yang diadakan di Dewan Utama hotel tersebut mampu memuatkan 1,000 orang tetamu pada satu-satu masa, disamping keselesaan ruang legar yang luas serta dekorasi unik bertemakan suasana kampung.

Johari berkata, harga yang ditawarkan adalah RM128 bersih untuk dewasa dan RM96 bersih untuk kanak-kanak berumur dari lima hingga 11 tahun.

“Tempahan awal dijual dengan harga RM98 bersih untuk dewasa dan kanak-kanak RM50 bersih sehingga 19 Mac 2023.

“Selain menikmati hidangan bufet, pakej bilik Ramadan juga di sediakan untuk tetamu yang ingin bermalam yang berharga RM460 bersih untuk penginapan satu malam beserta sahur dan iftar untuk dua orang dewasa,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya