Pembukaan semula sektor ekonomi bakal memacu kembali pertumbuhan industri hartanah negara. Dengan pertambahan bilangan penduduk pekerja dan peningkatan pendapatan, permintaan terhadap hartanah juga diunjurkan meningkat.
Pada 2022, sektor hartanah negara merekodkan transaksi hampir RM180 bilion, tertinggi sejak 2001, memetik laporan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC).
Pada tahun itu juga menyaksikan banyak syarikat hartanah merekodkan jualan yang lebih tinggi melepasi sasaran. Misalnya, Sime Darby Property merekodkan jualan sebanyak RM3.7 bilion, melepasi sasaran RM2 bilion.
Untuk tahun ini pula, pasaran dijangka stabil dengan penganalisis meramalkan bertumbuhan kembali seperti sebelum pandemik di mana waktu itu pasaran suram disebabkan pembeli kurang akibat pengangguran yang meningkat.
Lantaran itu, permintaan terhadap rumah bertanah dijangka meningkat dan peningkatan itu bakal melonjakkan harga hartanah segmen tersebut pada 2023.
Perkara itu disuarakan oleh firma pasaran hartanah, Juwai IQI dalam laporannya minggu lalu yang menjangkan kenaikan dalam Indeks Harga Rumah Malaysia (IHRM) sebanyak lima peratus tahun ini, daripada sekitar dua peratus pada 2022.
Kenaikan itu bukan sahaja berlaku di Lembah Klang, tetapi juga negeri pesat membangun lain iaitu Johor dan Pulau Pinang dengan anggaran kenaikan masing-masing 2.2 dan 3.2 peratus.
“Harga rumah teres dijangka meningkat sebanyak 3.7 peratus, diikuti harga rumah bertingkat tinggi pada 3.4 peratus dan rumah berkembar pada 2.9 peratus,” kata Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Kashif Ansari dalam laporan itu.
Seiring dengan purata pendapatan rakyat Malaysia, permintaan untuk hartanah mampu milik termasuk dalam julat RM300,000 dijangka kekal kukuh pada tahun ini hingga suku pertama 2024.
Jangkaan ini merupakan peluang kepada syarikat pemaju untuk menyediakan lebih banyak hartanah mampu milik bagi memenuhi permintaan terutama dalam kalangan pembeli rumah pertama dan golongan muda.
Ketika ini, hartanah kategori tersebut dilihat sangat terhad, tidak banyak syarikat yang membina rumah kategori berkenaan. Walhal, permintaan terhadapnya kekal tinggi.
Sebagai contoh, sambutan yang diterima oleh projek Rumah SelangorKu dan Residensi Wilayah yang dahulunya dikenali sebagai RUMAWIP. – UTUSAN