ECERDC sasar tarik RM9.5 bilion pelaburan ke Pahang - Utusan Malaysia

ECERDC sasar tarik RM9.5 bilion pelaburan ke Pahang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Majlis Pembangunan Wilayah Pantai Timur (ECERDC) menyasarkan untuk mencapai RM9.5 bilion pelaburan komited ke Pahang tahun ini, peningkatan lebih 40 peratus daripada pelaburan komited yang dicapai sebanyak RM5.5 bilion tahun lalu.

Pelaburan berpotensi dalam sektor pembuatan, perniagaan tani, pelancongan, minyak, gas, dan petrokimia, serta sektor tenaga boleh diperbaharui dijangka akan mewujudkan lebih banyak pekerjaan baharu dan peluang keusahawanan kepada rakyat Pahang.

Dalam dua bulan pertama tahun ini, ECERDC telah mencapai RM2.07 bilion dalam pelaburan komited di Pahang. Ini adalah hasil usaha promosi intensif ECERDC dan kerjasama erat dengan Kerajaan Negeri Pahang, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, beliau yakin ECERDC akan mengekalkan momentum pelaburan dan meningkatkan aktiviti promosi pelaburannya untuk menarik lebih banyak pelaburan yang berkualiti dan bernilai tinggi ke Pahang.

“Projek dan inisiatif strategik yang dirancang oleh ECERDC untuk negeri Pahang, seperti penambahbaikan infrastruktur dan program pembangunan modal insan yang dijalankan seiring dengan usaha promosi pelaburan akan membantu mengukuhkan kedudukan negeri Pahang sebagai sebuah destinasi pelaburan pilihan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Baidzawi Che Mat berkata, ECERDC menyokong sepenuhnya agenda pembangunan kerajaan, terutamanya dalam memangkin pelaburan dalam sektor pertumbuhan baharu.

“Ini akan menyumbang kepada penciptaan pekerjaan berkualiti atau ‘pekerjaan yang bermaruah’, di samping membangunkan tenaga kerja ECER selaras dengan agenda ini,” katanya.

ECERDC, dalam usaha “Mencipta Destinasi” bagi merancakkan sektor pelancongan dan memacu ekonomi tempatan, kini sedang menaik taraf Pantai Hiburan Rompin. 

Projek ini merangkumi pembinaan pintu masuk, menara tinjau, gazebo, kaunter tiket dan kemudahan awam lain. Pantai Hiburan Rompin juga telah dikenal pasti sebagai lokasi Taman Kenderaan Rekreasi (RV) pertama di Wilayah ECER. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya