Ducati DesertX jentera lasak, canggih - Utusan Malaysia

Ducati DesertX jentera lasak, canggih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ADALAH satu yang tidak dapat ditolak apabila dijemput untuk menguji pandu sebuah jentera terbaru daripada jenama hebat Itali, bersama dengan beberapa pengamal media daripada negara-negara Asia yang lain. Tambahan pula apabila jemputan itu memberi peluang untuk saya mengujinya di luar negara, serta mengukur kehebatan jentera ini di kedua-dua laluan bertar dan juga laluan ‘off-road.’

Ducati DesertX adalah satu genre motosikal adventure, atau motosikal jenis lasak, direka khusus untuk ‘dibelasah’ di laluan-laluan pendalaman dan padang pasir, yang sudah pasti juga didatangkan dengan sistem-sistem sokongan bantuan penunggangan yang terkini dan serba canggih. Namun, bagaimana pula prestasi Ducati DesertX ini di atas jalan raya biasa yang mempunyai selekoh-selekoh tajam serta ketangkasannya atas lebuh raya yang lurus dan luas?

Selama lima hari saya diberi peluang untuk mencungkil kebolehan teknologi yang ada pada jentera unik Ducati ini dan secara amnya, saya bahagikan kupasan prestasinya pada tiga segmen yang sudah tentunya menjadi ukuran setiap pencinta dua roda. Saya tidak akan memperincikan spesifikasi enjin DesertX ini yang mana informasi ini sangat mudah untuk anda dapatkan sendiri dari internet. 

FIZIKAL

Skim warna merah menyala selalunya menjadi imej atau watak kepada jentera-jentera Ducati. Namun kali ini, warna putih menjadi pilihan ahli keluarga terbaharu jenama Itali ini. Motosikal jenis lasak ini sudah tentu didatangkan dengan pelana atau tempat duduk yang agak tinggi. Saya yang mempunyai ketinggian 183 sentimeter (cm) berupaya untuk memijak permukaan dengan kemas namun sekiranya anda kurang daripada 165 cm, anda harus berkebolehan untuk mengimbangi motosikal dengan baik yang mana saya lihat sendiri apabila seorang peserta dari Korea yang terpaksa ‘menggantung’ sebelah kakinya bagi membolehkan sebelah lagi kakinya memijak permukaan ketika konvoi kami berhenti di lampu isyarat.

Penggunaan roda hadapan bersaiz 21 inci dan roda belakang bersaiz 18 inci dilihat sebagai satu langkah untuk memberikan pengendalian pengemudian yang mudah terutamanya penunggangan atas laluan yang berpasir dan seumpamanya. Sistem ini sudah menjadi kebiasaan pada motosikal-motosikal lasak yang rata-ratanya menggunakan roda yang lebih besar di hadapan.

Lampu hadapannya memberitahu anda bahawa Ducati berusaha untuk mengembalikan rekaan-rekaan retro tetapi dalam pada itu dibekalkan dengan teknologi elektronik yang terkini. Dua lampu bulat yang dililit oleh lampu LED DRL (Daytime Running Lights), mengesahkan pengaruh rupa bentuk motosikal-motosikal lasak yang sering berlumba dalam perlumbaan Rally Paris ke Dakkar, yang dikatakan sebagai perlumbaan lasak tahap paling tinggi di dunia.

Pelindung bahagian enjin yang diperbuat daripada aluminium turut menambah estetika rekaan motor lasak yang sering digunakan perlumbaan-perlumbaan ‘enduro’. Selain menggunakan body kit yang minimum, Ducati DesertX ini memastikan aruhan udara panas daripada kipas penyejuk radiator enjin TESTASTRETTA generasi ke-11 ini yang berkapasiti 937cc, dialirkan keluar dengan efisien dan tidak ‘membakar’ paha atau kaki penunggangnya.

TUNGGANGAN DI JALAN TAR

Kami dibawa menunggang di kawasan pergunungan dan bukit bukau di utara Thailand, yang mana laluan ini menjadi pilihan eksplorasi para pencinta motosikal jarak jauh atau motosikal lasak. Keadaan topografi laluan yang dipilih sangat mencabar dengan selekoh-selekoh yang berterusan walaupun sudah satu jam kami menunggang.

Dalam pada tunggang uji yang dijalankan di laluan-laluan ini, saya dapati sistem suspensi standard yang dibekalkan iaitu daripada KYB (KAYABA) tidak mengecewakan. Penggunaan penyerap hentakan jenis terbalik di hadapan, bersaiz 46 milimeter (mm) dan penyerap hentakan tunggal belakang yang boleh dilaras sepenuhnya, beroperasi dengan sangat baik ketika pengendalian dalam selekoh, atau ketika penggunaan brek yang memerlukan kestabilan motosikal. Cuma agak sukar ‘menghadam’ jenama KYB ini bersama Ducati. Selalunya Ohlins, menjadi pilihan utama Ducati.

Begitu pun, saya dapat mengesan terdapat sedikit kelemahan pada tayar yang dibekalkan iaitu Pirelli Scorpion Rally STR yang agak kurang mencengkam apabila suhu operasi tayar tersebut semakin panas dan apabila tunggangan agresif dilakukan. Sungguhpun saya sedar ini bukanlah satu tayar yang menumpukan prestasi pengambilan selekoh-selekoh tajam dengan kelajuan tinggi seperti sebuah motosikal sport, namun, ada jenama-jenama atau model-model lain yang mampu memberikan prestasi yang lebih baik daripada tayar standard ini. Ini sedikit sebanyak mengurangkan keseronokan penunggangan apabila tayar tidak dapat memberikan prestasi yang sama hebat dari sistem suspensi dan tujahan kuasa enjin yang begitu mengujakan.

Sewaktu dalam mod touring, kedudukan penunggangan DesertX ini begitu selesa sama ada dari segi jangkauan lengan saya dari tempat duduk ke pemegang boleh dilaras sudut kecondongannya. Saya juga diberitahu, tahap ketinggian pelana juga boleh dilaras, namun saya masih yakin, walau di tahap paling rendah pun, ia masih mempunyai ketinggian pelana yang agak tinggi.

 

TUNGGANGAN DI LALUAN OFF-ROAD

Inilah tujuan sebenar motosikal ini dicipta. Kebolehan pengendalian yang baik di atas permukaan jalan yang berpasir dan tidak rata menjadikan Ducati DesertX ini cemerlang dalam elemen sebegini. Selain berkeupayaan untuk memilih untuk tidak menggunakan ABS, tahap bantuan penunggangan elektronik dibekalkan dengan enam pilihan, yang mana dua daripada pilihan ini adalah dikhususkan untuk penunggangan off-road iaitu mod Enduro dan Rally. Anda boleh memadankan dengan tahap dan keselesaan penunggangan anda terutamanya dalam penghantaran kuasa enjin. Walau Bagaimanapun, mod sports, touring, urban (penggunaan dalam bandar) dan hujan tetap boleh dilaras di hujung jari anda.

Kapasiti tangki bahan api 21 liter membolehkan anda menunggang dan menikmati keindahan alam semula jadi berjam-jam lamanya dan DesertX ini juga berkebolehan untuk dipasang tangki bahan api tambahan sebesar lapan liter di bahagian ekornya.

Bantuan penunggangan DesertX ini turut membolehkan anda membuat pengawalan cengkaman roda (traction control), pengawalan kestabilan roda hadapan, pengawalan engine braking, penggunaan sistem brek ABS ketika dalam selekoh, sistem pertukaran pantas gear (Quickshifter – up and down) banyak membantu penambahan keseronokan ketika saya menunggangnya dalam laluan-laluan tanah merah di kawasan pendalaman. Namun, anda perlu belajar dahulu proses-proses penalaannya yang kesemua boleh dipilih atau dilaras pada meter digital TFTnya akibat terlalu banyak pilihan yang perlu anda pilih pada menunya. 

 

KESIMPULAN

Ducati DesertX, sebuah motosikal terbaru dari keluarga motosikal Itali yang begitu sinonim dengan jolokan “Ferrari” untuk dunia motosikal, menjanjikan ia diperbuat dengan pengalaman, teknologi dan keupayaan pembuatan motosikal premium dunia.  

Dalam keadaan tahap mata wang kita yang jauh lebih rendah daripada matawang Euro, harganya sudah tentu lebih kurang sama dengan harga sebuah rumah teres dua tingkat terkini. Begitupun, anda membayar untuk gaya hidup, teknologi dan imej, sebuah jentera hebat dunia yang boleh anda dapatkan daripada ruang pamer Ducati Malaysia di Petaling Jaya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya