BERMULA dengan pelancaran platform pendanaan awam yang dinamakan Sadaqa House pada Januari 2018, Bank Islam Malaysia Bhd. (Bank Islam) terus mengorak langkah agresif dalam membangunkan bidang kewangan sosial. Bagi Bank Islam, kewangan sosial dilihat sebagai pemboleh pembangunan sosioekonomi ummah dengan instrumen-instrumen kewangan sosial Islam seperti wakaf, sedekah dan zakat dimanfaatkan demi kesejahteraan masyarakat yang layak.
Bagi memastikan bidang kewangan sosialnya terus berkembang, Bank Islam menggunakan pendekatan strategik melalui penawaran produk, perkhidmatan dan inisiatif perbankan tradisional yang diintegrasikan dengan instrumen kewangan sosial Islam bagi menghasilkan impak sosial meluas dan berkekalan. Matlamat Bank Islam sangat jelas dalam usaha ini apabila ia mensasarkan untuk mengasuh kelompok seperti asnaf dan B40, yang belum layak menerima khidmat perbankan.
Melalui intervensi Bank Islam, usaha dilakukan untuk meningkatkan keupayaan individu terlibat agar mampu membentuk rekod kewangan yang kukuh bagi membolehkan mereka menerima kemudahan perbankan daripada institusi kewangan kelak.
Ketua Pegawai Rangkuman Kewangan Kumpulan Bank Islam, Mohd Nazri Chik berkata, kewangan sosial di Malaysia mendapat lebih perhatian selepas Bank Negara Malaysia (BNM) mengeluarkan Pelan Tindakan Sektor Kewangan 2022-2026 pada tahun lalu.
Menurut beliau, sungguhpun demikian, Bank Islam telah memulakan inisiatif kewangan sosial lebih awal menerusi Sadaqa House yang bertanggungjawab untuk mengumpul, mengurus dan mengagihkan sumbangan atau sedekah orang ramai dan institusi, untuk projek-projek yang telah dikenalpasti dapat meningkatkan taraf kehidupan masyarakat.
“Empat bidang tumpuan penyaluran sumbangan itu adalah pemerkasaan komuniti, penjagaan kesihatan, pendidikan dan alam sekitar. Sumbangan yang diterima diuruskan secara profesional dan penuh tanggungjawab serta mempunyai rangka kerja kawal selia yang amat rapi dan telus,” katanya.
Beliau menambah, Sadaqa House memudahkan pengagihan kekayaan dengan menyumbang kembali kepada masyarakat. Ia memainkan peranan sebagai pengantara dan titik pertemuan antara penyumbang, pembuat perubahan dan penerima manfaat.
Usaha kewangan sosial Bank Islam diperluaskan menerusi pelancaran program iTEKAD pada Mei 2020. Ia bertujuan membantu usahawan asnaf dan B40 yang kehilangan mata pencarian berikutan penularan wabak Covid-19. Fasa pertama program tersebut melibatkan Bank Islam bersama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan SME Corporation Malaysia. Kini, ia diperluaskan menerusi kerjasama Majlis Agama Islam Negeri lain.
“Kewangan sosial yang ditonjolkan ini mempunyai tiga komponen utama iaitu pembiayaan mikro, peluang memperoleh geran padanan dan adanya elemen pembangunan perniagaan menerusi latihan dan pemantauan berterusan. Bank Islam menyediakan pembiayaan kepada kumpulan sasar dalam dua bentuk iaitu kewangan campuran dan pencepat pendanaan,” jelasnya.
Beliau memaklumkan, iTEKAD, yang mempunyai saiz dana RM5.3 juta, menyediakan pembiayaan bernilai antara RM20,000 hingga RM50,000 pada kadar keuntungan 4 peratus.
“Seterusnya kami memperkenalkan Pembiayaan Mikro BangKIT pada 25 November 2020 dengan dana awalan RM4 juta bagi membantu usahawan mikro yang tidak layak mendapatkan kemudahan pembiayaan perbankan biasa termasuk usahawan siswa dan belia. BangKIT menyediakan pembiayaan antara RM5,000 sehingga maksimum RM20,000 tanpa mengenakan sebarang kadar keuntungan (0%) atau di bawah prinsip qardhul hasan,” katanya.
Sehingga Disember 2022, Bank Islam telah mengagihkan lebih RM10 juta pembiayaan mikro dan modal sumbangan untuk menyokong inisiatif memupuk hampir 600 pelanggan yang memenuhi kriteria ditetapkan.
“Di bawah strategi perniagaan lima tahun Bank Islam, LEAP25, kami menyasarkan untuk mengukuhkan lagi angka itu kepada sekurang-kurangnya 3,000 penerima manfaat menjelang 2025,” ujarnya.
Mengulas lanjut Mohd Nazri berkata, Sadaqa House Bank Islam merupakan “game changer” dalam memperkasakan sektor Ijtima’i (kebajikan sosial) dengan memanfaatkan peranan dan kepakaran pengurusan dana di bank berkenaan.
“Pada Mei 2022, Bank Islam melancarkan dana khusus untuk memelihara kebajikan, pendidikan anak yatim daripada bayi sehingga tamat pengajian.
“Menerusi Misi 2040, Sadaqa House menyasarkan kutipan dana kekal RM1 bilion dan berhasrat menyalurkan RM3 juta sebulan kepada pendidikan, kebajikan anak-anak yatim ini dengan memanfaatkan hasil pulangan pelaburan dalam instrumen kewangan bersesuaian,” katanya.
Jelasnya, sebanyak 20 peratus sumbangan diterima sebelum 2040 disalurkan kepada inisiatif bersama rakan-rakan pelaksana, manakala 80 peratus lagi dimasukkan terus ke dana kekal
Mohd Nazri berharap orang ramai dan institusi terus memberi sokongan padu kepada Sadaqa House demi kesejahteraan kehidupan penerima.
“Kami juga berharap agar penerima memanfaatkan sokongan yang diberi dan menunaikan tanggungjawab dengan menyumbang semula kepada Sadaqa House bagi membantu penerima lain,” kata beliau menamatkan bicara. – UTUSAN