Anuar Kari Kepala Ikan buka cawangan di Melaka

Anuar Kari Kepala Ikan buka cawangan di Melaka

PEKERJA Anuar Kari Kepala Ikan menunjukkan kepala ikan yang dijual di kedai mereka di Jalan Bendahara, Banda Hilir, Melaka. - UTUSAN/HADI AB. MANAP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Setelah hampir 43 tahun hanya beroperasi di Bangsar, Kuala Lumpur, gerai Anuar Kari Kepala Ikan atau Bangsar Fish Head Corner akhirnya membuka cawangan pertamanya di Melaka iaitu di Jalan Bendahara berhampiran Little India, Banda Hilir di sini.

Mula beroperasi sejak Khamis lalu dan dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam, cawangan berkenaan mengekalkan menu-menu berharga bajet seperti di Bangsar, selain hidangan kari kepala ikan yang dijual mengikut saiz dan jenis ikan.

Pemiliknya, Datuk Taufik Ismail Moideen berkata, seakan-akan Menu Rahmah, orang ramai boleh menikmati sepinggan nasi bersama ayam goreng istimewa, kuah kari kepala ikan dan tauge pada harga hanya RM5.

Jelasnya, pembukaan cawangan pertama itu juga bertepatan dengan hasrat kerajaan negeri untuk memperbanyakkan lagi produk pelancongan sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

“Walaupun kedai kami beroperasi di kawasan tumpuan pelancong iaitu di Jalan Bendahara berhampiran Banda Hilir, kami masih mengekalkan harga sama seperti di Bangsar. Bagi hidangan sepinggan nasi, ayam goreng dan sayur tauge harga cuma RM5.

“Jika pesan air, tambah RM1. Memang menjadi hasrat kami berniaga sambil berzakat. Bagi kari kepala ikan bergantung kepada jenis ikan dan saiz seperti jumbo, A+, A, B dan C.

“Peminat kari terutama kari kepala ikan kini tidak lagi perlu ke Bangsar, boleh singgah ke premis kami di Little India, kualiti masakan, rasa dan harga memang sama. Kita buka setiap hari bermula pukul 10 pagi sehingga 5 petang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, seorang pelanggan, Ahmad Zakaria Hambali, 45, berkata, pembukaan Anuar Kari Kepala Ikan memberikan lebih penawaran khususnya kepada pelancong untuk menu makan tengah hari.

Katanya, lokasi premis itu yang beroperasi di kawasan tumpuan pelancong dilihat amat bertepatan membantu keluarga kurang berkemampuan untuk membeli makanan pada harga serendah RM5.

“Pelancong yang datang ke Banda Hilir khususnya, memang dilema untuk makan tengah hari. Biasanya harga makanan di kawasan tumpuan sedikit tinggi berbanding lokasi lain. Tetapi kini kita boleh makan tengah hari di kedai kari kepala ikan dengan harga RM5 sepinggan, ini sangat menjimatkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya