JIKA pada artikel sebelum ini diketengahkan tentang rupa fizikal dan reka bentuk Volvo C40, kali ini kita akan membincangkan tentang pemanduan kenderaan utiliti sukan (SUV) yang menggunakan 100 peratus kuasa elektrik ini.
PANDU UJI PENGENALAN DI KUALA LUMPUR
Sesi ini adalah sebagai ‘sesi suai kenal’ bersama media tempatan yang terpilih. Kami berjalan dalam satu kumpulan konvoi dan melalui jalan raya utama yang sudah pastinya sesak dengan kenderaan lain. Namun, pandu uji ini terlalu terkawal dan kami dibawa melalui laluan-laluan yang telah dipilih terlebih dahulu oleh pihak penganjur.
Ternyata seperti kenderaan elektrik (EV) lain yang telah berada di pasaran, kuasa tujahan C40 ini hampir serta merta seolah-olah kenderaan terus bergerak sebaik sahaja pedal pendikit ditekan tanpa ada ruang masa tertunda (lagging).
PANDU UJI DI GOTHENBURG, SWEDEN
Selain saya, beberapa para pengamal media telah terpilih untuk mewakili negara dalam satu jemputan ke Ibu Pejabat Volvo di Sweden. Berpeluang untuk menemuramah sendiri pegawai-pegawai atasan Volvo tentang matlamat dan produk terkini, serta memandu uji di jalan raya luar bandar Gothenburg yang menampilkan seperti ‘jalan-jalan kampung’ yang lebih kecil dan tirus. Bentuk muka bumi kawasan luar bandar Gothenburg ini juga penting untuk menguji sendiri C40 di dalam pelbagai bentuk pemanduan.
Sensor Lane Keeping Aid (LKA), iaitu sistem sensor yang memastikan anda memandu dalam lorong yang betul dan tidak terkeluar daripada lorong yang sepatutnya, walau berfungsi dengan baik ketika dalam kawasan bandar, saya mendapati apabila memandu di jalan-jalan kampung, ia seperti terkeliru. Saya merumuskan, sensor LKA ini menggunakan garisan kiri dan kanan jalan itu sebagai ‘penanda’ untuk membantu kenderaan ini berada di dalam kawasan selamat dalam lorongnya. Di jalan-jalan kampung tersebut ada sebahagian kawasan tidak mempunyai garisan putih pada tebing jalan raya. Ini menyebabkan dalam satu ujian saya, hanya ketika tayar C40 telah mula terbabas keluar daripada jalan raya, baru sensornya berbunyi memberi amaran.
Namun, sensor Rear Collison Warning (RCW) tidak mengecewakan apabila ada kenderaan yang terlalu mendekati di belakang, terdapat bunyi dan lampu isyarat yang memberi amaran kepada pemandunya.
Sensor-sensor bantuan pemandu sudah pasti ‘sarat’ dalam kenderaan secanggih ini, namun kebanyakan fungsi-fungsi ini terdapat dalam lain-lain kenderaan moden masa kini terutama untuk pemanduan dalam lebuh raya atau dalam pusat bandar yang memastikan kenderaan lain berada dalam jarak yang selamat. Tetapi, sejauh mana sistem-sistem keselamatan ini berfungsi sekiranya anda memandu dalam keadaan yang lebih ekstrim?
Volvo membawa kami menguji lagi C40 ini di atas permukaan tasik yang telah membeku di Kiruna, Sweden, yang mana kawasan ini adalah berada dalam lingkungan kutub utara (Arctic Circle). Bersuhu -25 darjah selsius, tasik yang dijadikan ‘litar pandu uji’ kami telah membeku setebal lima meter dan membolehkan pemanduan dibuat di atasnya.
Tanpa menggunakan tayar yang khas untuk memandu di atas ais, hanya sekadar tayar yang dipasang seperti paku payung untuk membolehkan tayar tersebut memberi sedikit cengkaman. Begitu pun, kami telah diberikan sedikit latihan untuk memandu di atas ais dan bersedia untuk memulakan pandu uji.
PANDU UJI DI ATAS AIS
Apabila mula meningkatkan kelajuan, memandu mengikuti penanda laluan dalam keadaan berliku-liku tersebut sudah tentu membuat rodanya tersasar dan mula menggelincir. Ketika kejadian ini berlaku, saya mendapati, tali pinggang keledar yang dipakai akan serta-merta menarik kemas badan pemandunya. Difahamkan, tindakan ini untuk mengelakkan pemandu atau penumpang mengalami sentapan tengkuk atau kedudukan badan yang terkeluar daripada tempat duduk.
Perkara kedua yang terjadi ialah roda-rodanya yang bertindak seperti pacuan empat roda, berputar mengikut putaran yang sekata dengan pasangannya kiri dan kanan. Hanya dengan tindakan mengangkat pedal pendikit dan menekannya semula seolah memperbetulan kegelinciran tersebut untuk mendapat pergerakan pemanduan ke arah yang diinginkan sebelum tergelincir.
Kami juga digalakkan mencuba model elektrik yang sebelumnya, iaitu model XC40, yang mana struktur binaan model tersebut adalah sedikit besar dan lebih ke arah sebuah SUV untuk keluarga. Ternyata, XC40 lebih besar gelincirannya akibat saiz fizikalnya yang lebih besar dan lebih berat berbanding C40.
C40 ternyata dapat memberikan pemandunya sedikit kelainan daripada perasaan memandu kereta SUV yang biasa dipasaran. Ternyata C40 lebih fokus, lebih jitu dan lebih mengutamakan pemanduan yang lebih serius, ibarat sebuah kereta sport.
PANDU UJI KEDUA DI MALAYSIA
Sekembalinya ke tanah air, saya diberikan peluang kedua memandu uji C40 selama seminggu. Saya mengujinya sebagai seorang yang belum pernah ada kenderaan elektrik dan sudah pasti daif tentang pengecasan, penggunaan dan jarak penggunaannya.
Ketika mengambilnya di Petaling Jaya dan memandu pulang sejauh 42 kilometer (km), saya terpaksa menempuh sedikit kesesakan jalan raya dan melalui lebuh raya yang agak kurang kenderaan serta laluan jalan biasa yang mempunyai lampu isyarat silih berganti.
Sebaik sahaja sampai di parkir apartmen, kuasa baterinya telah berkurangan 15 peratus. Saya mematikan kenderaan tersebut dan hanya menghidupkannya dua hari selepas itu. Apabila menghidupkan kembali kenderaan tersebut, ia masih di tahap 85 peratus dan tidak menurun langsung.
Terdapat banyak stesen-stesen mengecas di ibu kota, termasuk di parkir dalam kompleks membeli belah, selain stesen-stesen minyak utama sekitar ibu kota. Laluan lebuh raya Utara-Selatan ternyata tidak menggusarkan pemilik EV kerana mempunyai stesen-stesen pengecasan yang agak mencukupi di kawasan utara seperti di Bukit Gantang, Perak, serta di Pulau Pinang. Sementara itu, untuk kawasan selatan, Negeri Sembilan dan Melaka turut menyediakan beberapa stesen pengecasan dan lebih banyak tersedia di Johor.
Namun, untuk kawasan pantai timur, stesen pengecas EV masih kurang jumlahnya buat masa ini.
KESIMPULAN
VOLVO C40 dilabelkan sebagai sebuah SUV 100 peratus elektrik yang termurah di pasaran dengan harga RM288,888 sebelum kos pendaftaran dan insurans. Menggunakan kenderaan EV sepenuhnya mungkin untuk golongan berpendapatan tinggi dalam masa sekitar lima tahun ini, namun harus diingat, memiliki sebuah telefon bimbit pada 15 tahun dahulu juga adalah sesuatu yang dikaitkan dengan orang kaya tapi kini sudah menjadi barangan biasa yang dimiliki semua orang.
Teknologi akan terus berubah dan terserah pada kita untuk turut sama jadi sebahagian daripadanya atau kekal mundur. – UTUSAN