KUALA LUMPUR: Verdant Solar, syarikat pemasangan solar Malaysia menyasarkan pemasangan solar kediaman meningkat dua kali ganda bagi tahun ini iaitu sebanyak 1,300 berbanding 650 pada tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Verdant Solar, Zeth Lim berkata, peningkatan sasaran pemasangan solar kediaman pada tahun ini didorong terutamanya oleh sambutan baik yang diterima oleh syarikat itu sejak dua tahun lepas.
“Peningkatan sasaran itu adalah selaras dengan sambutan baik yang diterima daripada pelanggan kami. Kami juga mempunyai buku pesanan yang akan membantu menyokong syarikat untuk mencapai sasaran tersebut.
“Selain itu, kami melihat penerimaan pasaran juga semakin meningkat terhadap pemasangan solar dengan bantuan duta-duta yang ada untuk mempromosikan pemasangan solar di kediaman. Justeru, kami yakin dapat mencapai sasaran tersebut pada tahun ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Sementara itu, Verdant Solar juga telah diiktiraf Pembekal Tahunan Terbesar bagi sistem solar kediaman oleh Malaysia Book of Records (MBOR).
Sepanjang tahun lalu, syarikat tersebut membantu pemilik hartanah dan kediaman di Malaysia mengurangkan bil elektrik mereka sehingga 90 peratus melalui pemasangan sistem tenaga solar.
“Bagi 2022, penyelesaian tenaga kami telah membantu menjimatkan kos elektrikal tahunan sebanyak RM9 juta.
“Memandangkan kos utiliti di seluruh negara semakin bertambah, kami ingin menjadi perintis yang menjadikan tenaga solar lebih mudah didapati dan lebih mudah dimiliki oleh pemilik kediaman.
“Meskipun tenaga solar sentiasa tersedia, hanya segelintir kecil warga Malaysia sahaja yang memahami kelebihannya kepada alam sekitar, ekonomi dan masa depan.
“Dengan tercatatnya nama dalam MBOR, kami mahu mempromosikan peralihan industri tenaga Malaysia dengan lebih lanjut daripada bahan api fosil tradisional dan ke arah masa depan yang lebih mampan, sepadan dengan sasaran kami sejak permulaan lagi,” katanya.
Melangkah ke hadapan, Verdant Solar merancang untuk meluaskan tawarannya ke dalam bidang kenderaan elektrik (EV) dengan membekalkan pengecas EV, sistem bateri dan panel.
Kumpulan itu kini dalam proses perbincangan dengan beberapa pengilang dan rakan kongsi tentang rancangan masa hadapannya. – UTUSAN