Untung bersih MISC Berhad RM1.82 bilion - Utusan Malaysia

Untung bersih MISC Berhad RM1.82 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: MISC Berhad meraih keuntungan bersih sebanyak RM1.82 bilion pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022, lebih rendah sedikit berbanding RM1.83 bilion yang direkodkan pada tahun kewangan 2021.

Bagaimanapun, perolehan kumpulan melonjak kepada RM13.87 bilion daripada RM10.67 bilion, selepas semua segmen menyampaikan sumbangan hasil yang lebih tinggi.

Hasil daripada bahagian petroleum dan produk perkapalan menokok kepada RM4.67 bilion, iaitu 45.8 peratus lebih baik disebabkan peningkatan dalam muatan dan hari perolehan.

Selain itu, pendapatan perniagaan luar pesisir meningkat 42.2 peratus kepada RM4.32 bilion berikutan pengiktirafan hasil yang lebih tinggi daripada projek penukaran unit terapung, pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan (FPSO) susulan kemajuan projek yang lebih baik pada tahun berkenaan.

Kumpulan turut mencatatkan lonjakan pendapatan pada suku keempat tahun kewangan 2022, dengan untung bersihnya meningkat 39.7 peratus kepada RM645 juta, menyaksikan prospek yang meyakinkan dalam segmen operasinya.

Kumpulan itu mencatatkan hasil sebanyak RM4.17 bilion, iaitu 35.26 peratus lebih tinggi daripada suku yang sama sebelumnya, berikutan sumbangan yang lebih baik daripada pelbagai segmen.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MISC, Rajalingam Subramaniam berkata, MISC melaporkan prestasi kewangan yang positif untuk suku terakhir 2022 didorong daya tahan perniagaan di seluruh kumpulan.

“Kami sebagai satu pasukan akan kekal fokus dan komited untuk meneroka prospek baharu, perkongsian sinergistik dan penyelesaian inovatif,” katanya dalam kenyataan. 

Mengenai prospek Kumpulan, MISC berkata, kadar spot dalam pasaran perkapalan LNG terus disokong oleh peningkatan permintaan Eropah, pemulihan permintaan China dan ketersediaan kapal yang ketat ditambah dengan infrastruktur LNG mencapai keputusan pelaburan.

Bagaimanapun, MISC berkata, pendapatan operasi bagi aset gas dan segmen penyelesaian dijangka kekal kukuh, ditaja jamin oleh piagam jangka panjangnya.

Bagi perkapalan petroleum, syarikat itu berkata, unjuran kekal positif kerana purata pendapatan kapal tangki kekal tinggi.

“Kumpulan akan terus memberi tumpuan untuk membina pendapatan selamat jangka panjang kerana sekatan pengeluaran Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya  (OPEC+) baru-baru ini dijangka mengekalkan bekalan minyak yang ketat pada 2023,” ujarnya.

Sementara itu, prospek bagi sektor minyak dan gas huluan kekal menjanjikan memandangkan harga minyak yang tinggi, perbelanjaan modal meningkat dan permintaan minyak global bertambah baik dengan pembukaan semula China.

“Permintaan FPSO dijangka terus berkembang dengan baik, dengan peningkatan dalam projek yang dirancang dalam beberapa tahun akan datang terutamanya datang dari rantau Amerika Selatan dengan Brazil menerajui sebahagian besar pasaran pertumbuhan FPSO, diikuti oleh rantau Afrika Barat,” katanya.

Kumpulan itu menyasarkan untuk mengembangkan buku pesanannya dengan mencari peluang dalam pelbagai pasaran geografi dan ruang tenaga boleh diperbaharui.

Kumpulan turut mengisytiharkan dividen interim sebanyak 12 sen sesaham, yang menjadikan pembayaran setahun penuh kepada 33 sen sesaham. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya