MELAKA: Seorang ibu tunggal sanggup menaiki bas berulang-alik selama tiga tahun dari Pengkalan Balak, Masjid Tanah ke Hab Pengeluaran Produk Usahawan Asnaf Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) di Klebang dekat sini, semata-mata ingin mencari rezeki selepas kematian suaminya lima tahun lalu.
Halimah Isnin, 42, berkata, menaiki bas setiap hari sudah menjadi rutin hariannya demi menyara enam orang anak berusia 12 hingga 21 tahun.
Menurutnya, sejak kematian suami, dia hilang punca pendapatan lantas mengambil keputusan menyertai bengkel anjuran MAIM untuk mempelajari bidang keusahawanan dengan menghasilkan produk pes mi sizzling.
“Pes yang saya buat ini adalah resipi arwah suami. Mujurlah anak memberi idea untuk menjadikan pes ini sebagai sumber rezeki saya.
“Saya tidak sangka usaha saya mendapat perhatian apabila mendapat bantuan modal sebanyak RM3,000 bagi memulakan perniagaan di Hab Pengeluaran Produk Usahawan Asnaf MAIM.
“Syukur pes saya kini mendapat perhatian ramai pelanggan, kadang-kadang mendapat tempahan lebih 150 pek sebulan dan dapatlah menjana pendapatan sekitar RM3,000 sebulan,” katanya kepada pemberita pada Program Tanggungjawab Sosial Korporat SIRIM Berhad di sini hari ini.
Halimah merupakan antara 10 usahawan asnaf yang menerima peruntukan RM10,000 setiap seorang daripada SIRIM Berhad dalam bentuk pelabelan, penjenamaan dan pembungkusan.
Tambah Halimah, sebelum ini di pernah mengusahakan produk popia carbonara sejuk beku, namun gagal bertahan lama kerana tidak mempunyai kaedah pembungkusan yang baik.
“Saya bercadang untuk mengusahakan produk pes ke pasaran yang lebih luas berbanding sekarang,” jelasnya
Sementara itu, Penyelaras Hab Pengeluaran Produk Usahawan Asnaf MAIM, Zaidi Omar berkata, ia adalah kali kedua SIRIM Berhad memperuntukkan geran kepada usahawan yang menyertai hab berkenaan. – UTUSAN