Tempoh haji yang pendek tingkat harga pakej - Bumitra

Tempoh haji yang pendek tingkat harga pakej – Bumitra

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra) melihat cadangan mengurangkan tempoh haji akan mengakibatkan harga pakej menjadi lebih mahal.

Presidennya, Harun KC Ahmmu berkata, terdapat dua faktor yang akan menyumbang kepada kenaikan harga pakej untuk tempoh haji yang pendek berbanding tempoh masa menunaikan haji yang mencecah 40 hari ketika ini.

“Pertama, untuk tempoh menunaikan haji yang pendek, tambang kapal terbang akan menjadi lebih mahal kerana bilangan kapal terbang perlu ditambah mengikut permintaan jemaah.

“Jika dalam tempoh yang panjang, kita akan mendapat jadual penerbangan yang lebih tersusun menggunakan bilangan penerbangan yang minimum untuk ulang alik.

“Faktor kedua ialah kos hotel. Jika pergi menerusi Pengelola Jemaah Haji yang dilesenkan oleh Tabung Haji, hotel di Arab Saudi mengamalkan tempahan dalam empat peringkat mengikut tempoh.

“Sebagai contoh, peringkat satu bermula pada 1 hingga 25 Zulkaedah harganya akan murah, manakala pada peringkat kedua iaitu pada 25 Zulkaedah hingga 15 Zulhijjah harga hotel akan menjadi lebih mahal kerana terdapat permintaan yang tinggi pada tempoh itu.

“Kesimpulannya, tempoh menunaikan ibadah haji yang pendek, harganya akan menjadi lebih tinggi berbanding tempoh yang panjang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Bagaimanapun, Harun KC tidak menolak cadangan untuk memendekkan tempoh haji itu kerana menurutnya pilihan itu bergantung kepada kemampuan jemaah.

“Siapa yang mampu untuk membayar kos yang lebih tinggi untuk menunaikan haji dalam tempoh yang pendek, boleh teruskan.

“Tetapi sudah tentu lebih ramai akan memilih tempoh menunaikan haji yang lebih panjang kerana ia lebih menjimatkan,” katanya.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini mencadangkan Lembaga Tabung Haji (TH) mengkaji semula tempoh menunaikan haji ekoran peningkatan kos mengerjakan ibadah itu ketika ini.

Jelas Ahli Parlimen Bera itu, empat pakej tempoh masa menunaikan ibadah haji boleh diperkenalkan iaitu 14, 21, 30 dan 40 hari.

“Langkah tersebut bukan sahaja menjimatkan kos, tetapi dapat menarik minat lebih ramai untuk menunaikan Rukun Islam kelima ini.

“Ia kerana tempoh masa (lebih) singkat dan mungkin ada di antara kita yang terikat dengan kerja dan perniagaan,” katanya ketika membahaskan Usul Titah Diraja di Dewan Rakyat pada Selasa lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya