Subsidi bersasar dijangka diperkenal, kurangkan perbelanjaan negara - Utusan Malaysia

Subsidi bersasar dijangka diperkenal, kurangkan perbelanjaan negara

Rakyat menanti inisiatif kerajaan untuk mengurangkan kenaikan kos hidup yang semakin meningkat dalam pembentangan Belanjawan 2023, Jumaat ini. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perpaduan dijangka memperkenalkan subsidi bersasar dalam Bajet 2023 yang bakal dibentangkan pada bulan ini memandangkan kerajaan mahu mengurangkan beban subsidi dan perbelanjaan negara, kata penganalisis.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, pengenalan subsidi bersasar itu juga dapat memastikan hanya golongan yang layak sahaja akan menerima manfaat tersebut.

Katanya, mekanisme yang boleh diperkenalkan mestilah menggunakan teknologi seperti aplikasi, kod QR atau cip di dalam kad pengenalan supaya tidak ada unsur salah laku dan ketirisan.

“Kemungkinan besar subsidi bersasar ini akan melibatkan petrol RON95 sahaja kerana bahan api tersebut lebih mudah dilaksanakan dan dikawal, berbanding makanan asas yang dijual oleh semua peniaga runcit dan pasar.

“Sudah tentu kajian perlu dibuat sebelum pelaksanaannya untuk memastikan matlamat subsidi bersasar itu tercapai. 

“Oleh itu, subsidi ini akan mengambil sedikit masa selepas Bajet 2023 diumumkan dan bukannya akan dilaksanakan serta merta,” katanya di sini semalam.

Sebelum ini, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli memberitahu, kerajaan perlu membangunkan segera satu mekanisme untuk mengkategorikan kumpulan atau individu yang akan menikmati subsidi bersasar.

Beliau berkata, Malaysia tidak mempunyai pilihan dari segi ruang fiskal kecuali beralih kepada pelaksanaan subsidi bersasar dan pelaksanaan subsidi bersasar kelak sudah tentu mengambil kira kesan kepada rakyat, walaupun kemungkinan besar akan berlaku kenaikan inflasi.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia, Fuad Mohamed Berawi berkata, subsidi bersasar mungkin sedikit sukar untuk dilaksana.

Menurutnya, ini disebabkan kesulitan mendapatkan mekanisme yang sesuai dengan perkembangan teknologi masa kini. 

“Pelaksanaan subsidi petrol misalnya agak sukar diperkenalkan terutama bagi golongan sasaran yang terdiri daripada penduduk luar bandar yang kurang terdedah dengan maklumat serta kaedah agihan subsidi yang berasaskan gajet seperti telefon pintar. 

“Kekurangan ini dikhuatiri menyisihkan golongan ini daripada sasaran,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya