SINGAPURA: Singapura akan menaikkan cukai untuk pembeli hartanah bernilai tinggi dan kereta mewah, bagi menangani jurang kekayaan yang semakin meningkat akibat kedatangan keluarga kaya.
Negara itu juga akan meningkatkan levi ke atas tembakau dalam usaha untuk meningkatkan pendapatan dan mengurangkan ketidaksamaan, kata Menteri Kewangan Lawrence Wong dalam ucapan belanjawannya pada Selasa.
Parti pemerintah, yang menghadapi peningkatan kos penjagaan kesihatan dan perumahan, sedang berusaha keras untuk meningkatkan pendapatan.
Infrastruktur dan kestabilan Singapura telah menarik lebih ramai individu yang sangat kaya, menyumbang kepada lonjakan kos untuk segala-galanya daripada kereta mewah kepada keahlian kelab golf dan kondominium.
Bagi bahagian nilai rumah yang bernilai melebihi S$1.5 juta (AS$1.13 juta) dan sehingga S$3 juta, ini akan dikenakan cukai satu mata peratusan lebih tinggi pada 5.0 peratus manakala yang melebihi S$3 juta akan dikenakan cukai dua mata peratusan lebih tinggi pada 6.0 peratus.
Bahagian hartanah bukan kediaman yang melebihi S$1 juta dan sehingga S$1.5 juta akan dikenakan cukai satu mata peratusan lebih tinggi pada 4.0 peratus manakala yang melebihi S$1.5 juta akan dikenakan cukai sebanyak 5.0 peratus, naik daripada kadar semasa 3.0 peratus.
Perubahan itu akan dikenakan kepada semua hartanah yang diperoleh mulai Rabu (semalam), kata Wong.
Langkah itu dijangka menjana pendapatan tambahan S$500 juta setahun.
Saham pemaju Singapura mengenepi lebih rendah pada awal waktu dagangan semalam, dengan City Developments Ltd menyaksikan kejatuhan 2.7 peratus, CapitaLand Investment Ltd turun 0.8 peratus, manakala saham Keppel Corp berundur sebanyak 0.3 peratus.
Naib presiden kanan penyelidikan dan analitik di OrangeTee & Tie, Christine Sun berkata, walaupun dengan kenaikan itu, pembeli hartanah mewah mungkin tidak terkesan.
“Hartanah di peringkat atas mungkin tidak melihat kesan besar kerana pembeli kaya tidak mungkin dihalang oleh cukai tambahan.
“Hartanah dengan ciri dan lokasi produk yang baik akan terus menarik minat belian,” katanya.
Singapura dijangka memperoleh kira-kira 2,800 individu bernilai tinggi pada 2022 sahaja, menurut penyedia perancangan kediaman dan kewarganegaraan Henley & Partners.
Firma itu menganggarkan bahawa 249,800 penduduk di sana mempunyai nilai bersih sekurang-kurangnya AS$1 juta, menjadikannya bandar kelima terkaya di dunia.
Singapura juga merancang untuk melaksanakan kenaikan 15 peratus dalam duti eksais tembakau berkuat kuasa mulai Selasa.
Langkah itu boleh menjana kira-kira S$100 juta hasil tambahan setiap tahun. Negara itu juga dijangka mengumpul tambahan S$200 juta melalui perubahan dalam levi berkaitan kereta mewah.
Dalam bajet tahun lalu, Singapura meningkatkan cukai yang ditujukan kepada penduduk terkayanya, memfokuskan pada pendapatan, harta dan kereta yang dijangka menjana gabungan S$600 juta setahun.
Ketakutan yang semakin meningkat dalam kalangan penduduk tempatan bahawa mobiliti sosial telah menjadi perlahan mendorong kerajaan untuk mengkaji semula beberapa dasar yang menjadikannya salah satu negara terkaya di dunia. – AGENSI