PETALING JAYA: Permintaan untuk sumber luar bagi fungsi keselamatan siber yang khusus dan utama dalam kalangan perusahaan di Asia Tenggara semakin meningkat untuk meningkatkan keselamatan teknologi informasi (IT) mereka.
Menurut Laporan Ekonomi Keselamatan IT Kaspersky, perusahaan di rantau inii bergantung pada Pembekal Perkhidmatan Keselamatan Terurus (MSSP) mereka untuk pendidikan keselamatan siber, penilaian, perlindungan daripada serangan volum tinggi dan ancaman siber moden serta pengesanan dan penyelesaian ancaman lanjutan.
Katanya, kira-kira 48.3 peratus perusahaan di rantau ini memilih untuk mempercayakan MSSP untuk mengendalikan latihan keselamatan, pendidikan dan fungsi kesedaran kepada organisasi mereka.
“Sebagai pautan yang paling lemah dalam ekosistem IT, faktor manusia adalah paling ketara dalam hampir semua pelanggaran keselamatan yang diketahui, jadi pendidikan keselamatan siber kekal sebagai alat kritikal untuk perusahaan yang berhadapan dengan ancaman yang sentiasa berubah.
“Ia merupakan satu langkah utama dalam melindungi organisasi yang sentiasa diletakkan pada risiko yang serius dan mahal akibat kesilapan pekerja yang sama ada disengajakan, cuai atau semata-mata berpunca daripada kekurangan pengetahuan tentang isu keselamatan,” katanya di sini semalam.
Kaspersky berkata, data daripada penyelidikan itu dikumpul daripada 3,230 temu bual yang meliputi 26 negara di seluruh pasaran perniagaan-kepada-perniagaan (B2B) utama Kaspersky di seluruh dunia, termasuk negara utama di Asia Tenggara.
Sehingga 2020, data Kaspersky menunjukkan kos pelanggaran purata AS$1.09 juta (RM4.68 juta) untuk perusahaan dan AS$101,000 (RM434,166) untuk perniagaan kecil dan sederhana.
Syarikat fungsi keselamatan siber lain yang mewakilkan kepada MSSP mereka ialah penilaian keselamatan siber (58.8 peratus) serta perlindungan terhadap penolakan perkhidmatan teragih (44 peratus), ancaman berterusan lanjutan (39.7 peratus) dan pengesanan dan respons titik akhir (42.5 peratus).
Pengurus Besar Kaspersky Asia Tenggara, Yeo Siang Tiong berkata, pihaknya percaya keselamatan siber kekal sebagai bidang pelaburan keutamaan penting bagi kebanyakan perniagaan di Asia Tenggara.
“Selepas pandemik, yang menyebabkan gangguan perniagaan besar-besaran dan transformasi digital yang dramatik, rantau ini memahami bagaimana ia terdedah kepada risiko keselamatan siber.
“Hasil tinjauan kami menunjukkan bahawa organisasi di Asia Tenggara sedang mengambil langkah proaktif untuk melindungi dan mengukuhkan kakitangan, aset digital, operasi dan infrastruktur mereka,” ujarnya. – UTUSAN