Peniaga dijangka naikkan harga barang - Utusan Malaysia

Peniaga dijangka naikkan harga barang

PENIAGA mungkin naikkan harga barang sekiranya OPR dinaikkan pada Mac ini. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Peniaga dijangka menaikkan lagi harga barangan sekiranya Kadar Dasar Semalaman (OPR) dinaikkan sebanyak 25 mata asas lagi kepada 3.0 peratus, Mac ini.

Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Abdul Halim Husin berkata, ekonomi dan perniagaan tahun ini sangat mencabar sekiranya OPR dinaikkan lagi, ditambah keadaan perniagaan yang masih dalam proses untuk pulih kembali.

“Justeru, peniaga-peniaga sudah tentu akan bergelut untuk membayar pinjaman kepada bank dan itu akan menyebabkan ramai peniaga tertekan dan terpaksa menaikkan harga barangan yang dijual. 

“Kenaikan harga barangan itu juga menyebabkan pengguna tertekan selain akan meningkatkan lagi inflasi,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Sebelum ini, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) memutuskan untuk menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus dan mengekalkannya pada mesyuarat MPC pertama tahun ini, namun dijangka dinaikkan 25 mata asas pada bulan depan bagi mengekang inflasi dan menstabilkan pasaran.

Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) juga menaikkan lagi kadar faedah sebanyak 25 mata asas minggu lalu, kenaikan kali kelapan sejak Mac tahun lalu.

Tindakan itu sekali gus meletakkan kadar dana persekutuan dalam julat antara 4.5 peratus hingga 4.75 peratus iaitu paras tertinggi sejak Oktober 2007.

Sementara itu, Abdul Halim berkata, pada tahun ini juga adalah permulaan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) di mana tarif akan menurun sehingga kosong peratus. 

Ujarnya, ini akan menyebabkan pengilang di Malaysia menerima tekanan berikutan dolar AS yang meningkat serta kadar faedah dan inflasi yang meningkat sekali gus menyebabkan kos operasi terus menaik. 

“Mereka akan tertekan untuk menurunkan kos supaya mereka lebih kompetitif di dalam dan luar negara di mana CPTPP menyebabkan barangan luar yang masuk ke Malaysia menjadi lebih murah kerana tiada tarif yang dikenakan. 

“Pengusaha-pengusaha besar akan mendapat manfaat daripada perkara itu tetapi pengusaha kecil mungkin akan dipaksa menutup operasi kerana tidak dapat menurun kos operasi. 

“Mahu atau tidak, dalam menghadapi cabaran tahun ini, kami terpaksa mengurangkan kos pengeluaran termasuk membuang sebahagian pekerja supaya boleh bertahan dalam ekonomi yang tidak menentu dan keadaan pasaran yang menurun sementara harga semakin meningkat.

“Jadi kami terpaksa mengurangkan perbelanjaan bagi mengawal kos pengeluaran,” ujarnya. 

CPTPP telah mula berkuat kuasa pada 29 November lalu dan Malaysia telah meratifikasi CPTPP berikutan penyerahan surat cara ratifikasi oleh kerajaan untuk perjanjian itu kepada New Zealand, depositari CPTPP, pada 30 September 2022. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN