SUNGAI PETANI: Ladang Solar Berskala Besar (LSS) Bukit Selambau yang dibangunkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) melalui anak syarikat milik penuhnya, TNB Renewables Sdn. Bhd. (TRe) kini menjana kira-kira 150,000 MWh tenaga boleh baharu (RE).
Pengarah Urusan TRe, Mohd. Yusrizal Mohd. Yusof berkata, jumlah penjanaan tenaga boleh baharu itu juga menyaksikan secara purata 3.7 peratus lebih tinggi daripada Kuantiti Tahunan yang Diisytiharkan (DAQ).
Menurutnya, jumlah berkenaan dapat menampung permintaan tenaga bagi kira-kira 30,000 buah rumah setiap hari.
“LSS Bukit Selambau dengan kapasiti 30MW di kawasan seluas 50 hektar merangkumi pemasangan 134,880 panel solar fotovoltaik, menjadi satu daripada mercu tanda keupayaan TNB melaksanakan projek LSS dalam menyokong aspirasi negara ke arah kelestarian alam.
“Ladang ini berjaya dimula tugas 114 hari lebih awal pada 8 September 2020, meskipun ketika itu kita berdepan cabaran pandemik Covid-19,” katanya ketika lawatan media ke tapak LSS Bukit Selambau di sini, semalam.
TNB mula mendapat kepercayaan Suruhanjaya Tenaga (ST) apabila menjayakan pembangunan LSS1 di Sepang dengan kapasiti 50MW yang mula beroperasi pada 23 November 2018.
Pada 2021, TNB melalui TRe memenangi bidaan untuk membangunkan LSS ketiganya berkapasiti 50MW, juga di Bukit Selambau yang bersebelahan LSS sedia ada dengan jangkaan siap menjelang Disember tahun ini.
Mohd. Yusrizal berkata, pelaksanaan LSS dalam industri elektrik negara mendorong kepakaran teknikal TNB dalam peralihan tenaga serta mengetengahkan komitmen TNB terhadap agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
Katanya, pengoperasian LSS Sepang dan Bukit Selambau telah menghindari pelepasan kira-kira 89,400 tan karbon dioksida setahun, bersamaan penyerapan 2,106 batang pokok atau pemanduan 22,245 kenderaan berkuasa petrol dalam tempoh sama.
“Ini mengukuhkan lagi peranan sebagai peneraju peralihan tenaga negara, dalam usaha meningkatkan peluang kepada rakyat dan negara untuk menikmati bekalan tenaga bersih dan berdaya harap.
“Dengan pengalaman dan kepakaran yang kami miliki, TRe semestinya ingin menjadi sebuah syarikat perintis yang menjadi tunjang utama pembangunan TBB di Malaysia. Kejayaan pembangunan projek LSS amat penting untuk memastikan kapasiti TBB dapat ditingkatkan,” katanya.
Sementara itu, TNB menyasarkan untuk mencapai 8,300MW kapasiti pada 2025 termasuk projek hidro besar sebagai komitmen untuk menurunkan 35 peratus intensiti pelepasan karbon pada 2035 dalam usaha mencapai karbon sifar menjelang 2050. – UTUSAN