Bina rumah kos rendah bawah RM90,000 di tanah kerajaan - Utusan Malaysia

Bina rumah kos rendah bawah RM90,000 di tanah kerajaan

KERAJAAN dicadang membina lebih banyak rumah kos rendah di bawah harga RM90,000 di tanah kerajaan bagi memberi lebih banyak pilihan rumah kos rendah kepada rakyat. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dicadang membina rumah kos rendah di bawah RM90,000 di atas tanah kerajaan sebagai tanggungjawab sosial dalam semakan semula Dasar Perumahan Negara (DPN).

Timbalan Ketua Pegawai Operasi 1, MK Land Holdings Berhad (MK Land), Ahmad Soalahuddin Al-Thani berkata, cadangan tersebut bertujuan untuk membolehkan kerajaan menyediakan pilihan rumah kos rendah.

“Langkah ini bertujuan menyediakan pilihan rumah kos rendah kepada isi rumah berpendapatan rendah dengan membina rumah yang mampu dimiliki oleh penduduk yang disasarkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Ahmad Soalahuddin, langkah berkenaan merupakan salah satu cadangan syarikat hartanah berkenaan kepada KPKT susulan pengumuman kajian semula DPN berdasarkan rangkuman intisari MADANI.

Beliau turut mencadangkan agar kerajaan menyediakan subsidi faedah pinjaman perumahan untuk pembeli rumah kali pertama di bawah kategori B40 dan M40. 

Katanya, ia bertujuan memudahkan pembeli rumah kali pertama memiliki  dan membeli kediaman mereka dengan kos pinjaman dan komitmen bulanan lebih rendah.

“Kerajaan juga harus menyediakan pinjaman baki beza pinjaman bank kepada pembeli B40 yang layak dengan tujuan menyediakan bantuan kewangan kepada isi rumah berpendapatan rendah memiliki rumah sendiri.

“Selain itu, kerajaan juga perlu mengawal harga bahan mentah sebagai langkah mengawal kos bahan mentah yang digunakan dalam pembinaan untuk menjadikan kos perumahan lebih mampu milik untuk golongan berpendapatan rendah khususnya,” katanya.

Beliau turut mencadangkan agar pemaju diberi peluang oleh kerajaan untuk memindahkan keperluan pembinaan rumah mampu milik kepada kawasan tanah yang mempunyai permintaan lebih tinggi atau kos infra dan nilaian tanah yang lebih rendah.

Jelas beliau, ia untuk mengoptimumkan penggunaan sumber tanah dengan membenarkan pemaju memindahkan keperluan rumah mampu milik.

“Kerajaan juga perlu memberi rebat cukai dan pengecualian caj pembangunan apabila pemaju membina rumah mampu milik dengan menyediakan insentif kewangan kepada pemaju yang membina rumah mampu milik,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Soalahuddin berkata, sebagai pemaju hartanah tempatan MK Land berharap agar dapat turut bersama menyumbang kepada kajian semula DPN sedia ada oleh KPKT.

“Kami yakin berbekalkan pengalaman lebih 30 tahun dalam industri ini, kami mempunyai pandangan dan input berharga dalam pasaran perumahan tempatan yang boleh kami kongsikan dengan pihak Kerajaan dan sekaligus menyumbang kepada proses semakan DPN ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya