JOHOR BAHRU: Belanjawan 2023 mampu melonjakkan usaha pembangunan sosial dan ekonomi negara pasca pandemik Covid-19, termasuk di wilayah Iskandar Malaysia
Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Dr. Badrul Hisham Kassim berkata, beberapa projek akan memberi kesan secara langsung kepada pembangunan masyarakat di negeri ini.
Antaranya, pewujudan zon khas kewangan dengan pakej imbuhan yang berdaya saing di Iskandar Malaysia.
“Projek naik taraf Lebuhraya Utara-Selatan dari Yong Peng Utara ke Senai Utara – Fasa 1 daripada empat menjadi enam lorong dan pembinaan lorong memotong di Senai-Desaru Expressway serta Pas Perjalanan Tanpa Had myBAS50 turut dicadang untuk diperkenalkan kepada rakyat Johor Bahru secara rintis dan penaiktarafan termasuk pembesaran Hospital Pontian akan menyumbang terhadap penyediaan ekosistem kehidupan yang berkualiti terutamanya untuk mereka yang menetap di Iskandar Malaysia.
“Cadangan yang secara langsungnya melibatkan kawasan Iskandar Malaysia ini menzahirkan keyakinan kerajaan terhadap kedudukan dan peranan yang mampu dimainkan kami dalam menyumbang terhadap pembangunan negara.
“Ini akan mengukuhkan lagi usaha IRDA untuk meningkatkan kemasukan pelaburan dan menyediakan ekosistem kehidupan dan perniagaan yang baik,
terutama sekali dalam menangani cabaran pasca pandemik Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Badrul Hisham berkata, cadangan mewujudkan zon kewangan di Iskandar Malaysia merupakan langkah strategik yang mampu menarik minat pelabur dan pekerja berpengetahuan untuk bertapak di sini serta menambah nilai dan memberi kelebihan di wilayah tersebut sebagai destinasi pelaburan antarabangsa.
“Baru-baru ini Iskandar Malaysia telah melihat kemasukan pelabur seperti Insulet Corporation dari Amerika Syarikat dan SPC (Paris Baguette) dari Korea Selatan.
“Lanjutan galakan cukai kepada syarikat pengilangan industri elektrik dan elektronik yang memindahkan operasi ke Malaysia dan kadar cukai 15 peratus untuk C-Suite sehingga tahun 2024 dijangka akan memperkukuh pelaburan dalam sektor ini yang merupakan salah satu daripada sembilan sektor yang dipromosi di Iskandar Malaysia.
“Begitu juga dengan pelanjutan insentif cukai pendapatan serta elaun cukai pelaburan hingga 31 Disember 2025 dalam bidang aeroangkasa memandangkan sektor ini adalah sektor yang baharu diperkenalkan di sini,” jelasnya.
Selain itu, cadangan melanjutkan tempoh insentif ‘Green Investment Tax Allowance’ (GITA) dan ‘Green Income Tax Exemption’ (GITE) hingga 31 Disember 2025 dengan pemanjangan tempoh galakan dari tiga kepada lima tahun juga dapat merangsang minat para pelabur. – UTUSAN