Bajet 2023: Kembangkan skim rumah mampu milik - Utusan Malaysia

Bajet 2023: Kembangkan skim rumah mampu milik

KERAJAAN perlu memperkenalkan skim rumah mampu milik dalam pembentangan Bajet 2023 minggu depan bagi membantu rakyat memiliki rumah. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan diminta untuk memperkembangkan lagi skim rumah mampu milik seperti Skim Rumah Pertamaku (SRP) melalui pengumuman Bajet 2023 yang akan dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 24 Februari ini.  

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Eksekutif MK Land Holdings Berhad, Felina Mustapha Kamal berkata, tindakan tersebut akan membantu meningkatkan permintaan bagi rumah mampu milik disamping menjadikan projek para pemaju sepertinya lebih menarik kepada bakal pembeli.

Menurut beliau, komitmen Kerajaan untuk terus menyokong pembinaan dan pembangunan rumah mampu milik, melalui pelbagai insentif cukai misalnya amat dihargai oleh pemain industri ekoran ia bakal menyumbang kepada peningkatan pelaburan dalam pembangunan infrastruktur perumahan.

“Kelonggaran nisbah pinjaman kepada nilai (LTV) dan kadar faedah untuk pembiayaan perumahan juga akan membantu menjadikan pemilikan rumah lebih mudah diakses secara lebih meluas oleh rakyat Malaysia.

“Selain itu, penyelarasan proses kelulusan perumahan juga akan turut mengurangkan kerenah birokrasi dan meningkatkan kecekapan bagi keseluruhan ekosistem industri pembangunan perumahan negara termasuk para pembeli,” katanya.

Beliau berkata, MK Land turut mengalu-alukan pelaburan kerajaan dalam teknologi baharu untuk meningkatkan kemampanan dan kecekapan projek perumahan disamping menggalakkan perkongsian swasta-awam untuk meningkatkan ketersediaan rumah mampu milik.

“Kami percaya pengumuman Bajet 2023 yang bakal dibentangkan secara khususnya, akan merangkumi pelbagai penyelesaian berkaitan isu dan permasalahan utama yang sedang dihadapi oleh industri pembangunan perumahan di negara ini,” katanya.

Felina turut menyuarakan hasrat untuk melihat komitmen berterusan kerajaan dalam meningkatkan aksesibiliti perumahan terutamanya bagi kumpulan isi rumah B40 dan golongan di kawasan luar bandar. 

Jelas beliau, ia secara tidak langsung dapat membantu menangani isu keperluan perumahan rakyat dan memastikan semua golongan mempunyai akses kepada perumahan yang selamat, mampu milik dan mampan.

“Secara keseluruhannya, kami berharap pembentangan Bajet 2023 ini merupakan satu langkah ke hadapan untuk industri pembangunan perumahan di negara ini.

“Kami juga berharap agar lebih lebih banyak peluang bekerjasama dengan kerajaan dapat diwujudkan untuk menjadikan hasrat pemilikan rumah bagi semua rakyat Malaysia menjadi realiti dan dapat direalisasikan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya