PETALING JAYA: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) mengenalpasti dan menyasarkan 100 buah koperasi untuk berdaftar dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bagi
terlibat dengan pemilikan saham khas bumiputera dalam mempelbagaikan lagi serta meningkatkan sumber perolehan yang secara tidak langsung akan membantu koperasi menyumbang lebih banyak manfaat kepada anggotanya.
Perkara tersebut dinyatakan oleh Presiden Angkasa merangkap Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah semasa merasmikan Program Kesedaran Pemilikan Saham Khas Bumiputera untuk Koperasi dengan Kerjasama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) di Wisma Ungku A. Aziz, Kelana Jaya.
Jelasnya, kerjasama antara tiga organisasi tersebut dianjurkan dengan objektif untuk memberi kesedaran kepada koperasi berkenaan peluang bagi menjana pendapatan melalui Pemilikan Saham Khas Bumiputera serta menyampaikan maklumat berkenaan proses memohon peruntukan pemilikan saham.
Menurut MITI, sebanyak 31 IPO atau 3.19 bilion unit saham telah ditawarkan kepada awam yang terdiri daripada GLC seperti PNB, koperasi, yayasan, syarikat dan individu pada tahun 2022.
Dalam 31 IPO tersebut ada peruntukan saham khas yang hanya ditawarkan kepada koperasi, yayasan, syarikat dan individu yang berstatus bumiputera.
“Buat masa ini Angkasa menyasarkan sebanyak 100 buah koperasi dan kita akan perluaskan lagi program ini supaya koperasi yang mempunyai keupayaan kewangan dapat memiliki saham dalam pasaran BURSA yang berdaya maju sekaligus. Usaha ini juga dijalankan dengan objektif memenuhi kuota pemilikan ekuiti bumiputera yang menjadi sasaran kerajaan iaitu sebanyak 30%.”
“Angkasa akan bekerjasama SKM untuk melihat bagaimana kekangan dari segi undang – undang dan peraturan dalam usaha pemilikan saham ini dapat diatasi dan yang paling penting pengurusan risiko serta impak perundangan harus ditekankan kerana kita perlu kurangkan kerugian. Pada masa yang sama tidak mahu gerakan koperasi terus melangkah ke hdapan dan kekal relevan dalam mempelbagaikan sumber pendapatannya.
“Kita juga bersetuju mewujudkan Jawatankuasa Teknikal bersama-sama wakil dari MITI, SKM dan agensi berkaitan bagi mencari jalan menangani isu berkaitan kelancaran proses untuk pemilikan atau pelaburan saham,” kata Presiden Angkasa.
Angkasa yakin dan percaya dengan penyertaan gerakan koperasi dalam pemilikan saham akan membantu meningkatkan modal dan keterlibatan koperasi dalam perniagaan berimpak tinggi serta meluaskan potensi untuk mengembangkan perniagaan agar gerakan koperasi terus memberi sumbangan berkesan sebagai sektor ketiga pembangunan ekonomi negara. – UTUSAN