PUTRAJAYA: Sektor pertanian memerlukan kira-kira 180,000 tenaga kerja asing untuk mengatasi masalah kekurangan tenaga kerja dalam bidang pertanian di seluruh negara, menurut Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin.
Beliau berkata, setakat ini seramai 3,000 pekerja asing telah didaftarkan untuk mengisi kekosongan di sektor tersebut menerusi Program Rekalibrasi.
“Setakat ini terdapat 3,000 pekerja asing yang telah daftar didaftarkan.
“Jadi, kami menyasarkan untuk menutup jurang yang sangat besar itu supaya isu kekurangan pekerja dapat diatasi dan keperluan sektor di pertanian dapat dipenuhi,” katanya pada sidang akhbar Sesi Dialog Industri Agromakanan dan Taklimat Khas Penggajian Pekerja Asing Sektor Pertanian di sini, semalam.
Beliau menjelaskan, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) kini sedang bekerjasama dengan beberapa kementerian dan agensi seperti Kementerian Sumber Manusia dan Jabatan Imigresen bagi menangani isu dan memenuhi keperluan sektor pertanian negara.
Chan Foong berkata, program tersebut diadakan untuk menyampaikan maklumat yang tepat dan terkini mengenai pengurusan pekerja asing kepada pemain industri sektor pertanian.
Ujarnya, Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing itu hanya akan dibuka kepada lima sektor pekerjaan yang kritikal dan memberi impak langsung kepada peningkatan ekonomi negara iaitu perkilangan, perladangan, pertanian dan perkhidmatan (restoran).
“Dengan adanya pelan tersebut, pihak industri mempunyai alternatif untuk mendapat sumber tenaga manusia untuk bekerja dalam sektor pertanian dan itu seterusnya akan membantu mereka meningkatkan pengeluaran hasil.
“Pengeluaran hasil akan memberi kesan kepada imbangan perdagangan dan menyumbang kepada pemulihan ekonomi negara serta agenda sekuriti makanan negara.
“Namun, pengambilan pekerja asing bukanlah objektif utama kami. Objektif utama kami adalah untuk mewujudkan peluang pekerjaan yang cukup dan lumayan untuk warga tempatan dan menarik minat orang muda.
“Pengambilan pekerja asing ini adalah penyelesaian untuk jangka pendek sahaja. Untuk jangka panjang, kami mahu orang muda melihat sektor pertanian ini sebagai sektor yang mempunyai masa depan sekali gus dapat menarik minat mereka untuk melibatkan diri dalam bidang ini,” katanya. – UTUSAN