MELAKA: Industri perhotelan perlu beralih kepada tenaga boleh diperbaharui (RE) atau penggunaan tenaga solar bagi mengatasi krisis tenaga, berikutan kenaikan tarif elektrik bagi pihak industri dan komersial baru-baru ini.
Pengarah Urusan Gading Kencana Sdn. Bhd., Datuk Dr. Ir. Muhammad Guntor Mansor Tobeng berkata, hanya dua kaedah itu dapat menyelamatkan industri berkenaan daripada terus menanggung kerugian.
Menurutnya, sebanyak 388 hotel bertaraf empat dan lima bintang terkesan teruk apabila berdepan peningkatan kos yang sangat tinggi iaitu hampir 40 peratus kenaikan akibat pelarasan tarif.
Jelasnya, kesemua hotel terlibat menggunakan hampir sejuta kilowatt jam (kWj) sebulan berbanding kira-kira 4,300 hotel bajet dan hotel bertaraf dua bintang ke bawah yang menggunakan hanya 20,000 kWj sebulan.
“Pilihan terbaik buat industri perhotelan agar dapat meningkatkan produktiviti ekoran peningkatan tarif elektrik adalah menggunakan tenaga boleh baharu atau memasang panel solar di bumbung hotel.
“Ini adalah penyelesaian terbaik untuk mengurangkan penggunaan tenaga elektrik kerana dapat menjimatkan penggunaan tenaga itu sehingga 20 peratus dan dalam jangka panjang pihak hotel akan dapat menjana keuntungan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Hotel Industry Meetup (HIM) anjuran Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) bersama pengusaha hotel dari Melaka, Negeri Sembilan dan Johor di Hotel Hatten di sini hari ini.
Tambah Muhammad Guntor, selain itu peranan kerajaan melalui Suruhanjaya Tenaga (ST) amat diperlukan dengan membantu industri perhotelan melalui penyaluran Geran Audit Tenaga Bersyarat (EACG).
Menurutnya, ia dapat melancarkan pengauditan pihak hotel bagi mencari kaedah mengurangkan penggunaan tenaga elektrik.
“Jadi saya merayu kerajaan menyediakan geran EACG untuk digunakan bukan sahaja pengusaha hotel bertaraf lima dan empat bintang, tetapi juga hotel bertaraf dua bintang ke bawah serta hotel bajet.
“Maklum balas yang diterima daripada persatuan dan pengusaha industri perhotelan mengenai kos operasi pengurusan yang semakin meningkat, ketika aktiviti pelancongan sejak selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semakin rancak.
“Kita perlu akui sama ada di Malaysia atau di peringkat global, kini berdepan dengan krisis tenaga ekoran kegawatan ekonomi,” jelasnya. – UTUSAN