Shazwani Dessert House laksana konsep berniaga sambil beramal - Utusan Malaysia

Shazwani Dessert House laksana konsep berniaga sambil beramal

ENGKU ROS SHAZWANI Engku Lah sentiasa memastikan agar pencuci mulut yang dijual di Shazwani Dessert House disukai pelanggan kedai itu di Indera Mahkota 7 di Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Mencari rezeki sambil beramal menjadi pendorong kepada pemilik Shazwani Dessert House, Engku Ros Shazwani Engku Lah untuk mengetengahkan produk-produk industri kecil dan sederhana (IKS) khususnya membabitkan ibu tunggal dan golongan peniaga yang meniaga secara kecil-kecilan di rumah serta pasar malam di daerah ini.

Sejak kedai itu dilancarkan dan dibuka pada 12 Disember lalu, Engku Ros Shazwani, 33, berkata, hampir 100 orang vendor menghantar produk mereka yang terdiri daripada aneka hidangan pencuci mulut seperti kek, brownies, tart telur dan lebih 40 jenis kuih muih untuk dijual di sini.

Beliau berkata, kuih muih itu termasuk kuih tradisional seperti lompat tikam yang mendapat sambutan hangat apabila ia habis dijual setiap hari membabitkan 120 ke 150 bungkus.

“Ini merupakan konsep kita di Shazwani Dessert House yang mana kita bantu peniaga-peniaga kecil termasuk ibu tunggal menghantar produk mereka untuk dipasarkan.

“Belum pun sampai sebulan kedai ini dibuka, sambutan pelanggan cukup menggalakkan sehingga vendor-vendor terbabit yang sebelum ini buat meniaga secara kecil-kecilan terpaksa menghasilkan produk mereka dalam kuantiti yang banyak.

“Ada antara vendor tidak menyangka sambutan kepada produk mereka cukup menggalakkan sekali gus membantu menambah pendapatan mereka, alhamdulillah, kita mencari rezeki sambil beramal,” katanya ketika ditemui di Shazwani Dessert House di Indera Mahkota 7 di sini.

SEBAHAGIAN pelanggan yang hadir ke Shazwani Dessert House bagi membeli makanan, pencuci mulut dan kuih muih yang dijual di kedai itu di Indera Mahkota 7 di Kuantan, Pahang.

Engku Ros Shazwani berkata, kedai itu mendapat permintaan luar jangka daripada peniaga atau vendor yang mahu menghantar produk mereka untuk dipasarkan di situ.

“Sekarang sudah ada hampir 100 orang vendor, jumlah ini pasti akan bertambah kerana setiap hari kita mendapat banyak permintaan dari peniaga khususnya di daerah ini.

“Kita pun tidak sangka sambutan cukup menggalakkan bukan sahaja dalam kalangan pembeli malah peniaga,” katanya yang memaklumkan kedai itu dibuka setiap hari bermula pukul 9 pagi hingga 9 malam.

Beliau berkata, selain membantu peniaga kecil, Shazwani Dessert House juga tidak melupakan golongan kurang berkemampuan di sekitar daerah ini terutama dalam kalangan warga emas.

“Pada setiap hari Jumaat, kita menyediakan antara 20 ke 30 bungkus makanan percuma seperti pulut kuning untuk diedarkan kepada golongan terbabit,” katanya.

Beliau berkata, jika hendak berniaga, sebaiknya ia memberi manfaat kepada orang lain dan konsep itu akan terus menjadi pegangan dan amalan di Shazwani Dessert House.

“Konsep berniaga sambil beramal ini akan terus dilaksanakan di sini. Kami percaya disebalik rezeki kami, ada rezeki orang lain,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya