KPJ Healthcare, Perkeso meterai perjanjian kerjasama - Utusan Malaysia

KPJ Healthcare, Perkeso meterai perjanjian kerjasama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: KPJ Healthcare Berhad memeterai Perjanjian Kerjasama Strategik dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) melalui anak syarikat milik penuhnya, Pusat Rehabilitasi Perkeso untuk membantu memulihkan pesakit dari segi fizikal, vokasional dan psikologi sebelum kembali menjalani kehidupan normal.

Melalui kerjasama awam-swasta dua tahun ini, KPJ Healthcare akan menyediakan rawatan dan perkhidmatan pemulihan kepada individu yang dilindungi Perkeso, dengan laporan komprehensif dan kakitangan yang berdedikasi untuk memantau dengan teliti perkembangan pemulihan individu terbabit di fasiliti KPJ Healthcare yang terpilih. 

Perkhidmatan ini termasuk rawatan pesakit dalam, penjagaan kejururawatan, fisioterapi, terapi pekerjaan dan pertuturan dan lain-lain, bergantung kepada keperluan pesakit.

Ini juga merupakan sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan kebolehcapaian perkhidmatan pemulihan kepada lebih ramai individu berinsurans di bawah Perkeso dengan menempatkan pesakit-pesakit ini di fasiliti KPJ Healthcare, lantas membolehkan mereka menerima rawatan dan kembali bekerja secepat mungkin.

Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, melalui perkongsian strategik ini, pihaknya dapat menyediakan langkah pencegahan awal, perkhidmatan pemulihan yang komprehensif dan meningkatkan kebolehcapaian perkhidmatan pemulihan kepada lebih ramai orang berinsurans Perkeso di Hospital Pakar KPJ seluruh negara. 

“Proses pemulihan juga boleh dipercepatkan dan dioptimumkan supaya pesakit boleh kembali bekerja dan menyara keluarga mereka. 

“Ini adalah selaras dengan matlamat Program Return-To-Work (RTW) Perkeso yang menekankan langkah pencegahan awal dan pemulihan intensif.

Sementara itu, Pegawai Pimpinan KPJ Healthcare, Norhaizam Mohammad berkata, KPJ Healthcare dengan sepenuh hati berusaha untuk membina dan memupuk jalinan kerjasama dengan rakan kongsi yang sesuai untuk perkara-perkara yang selari dengan nilai terasnya.

Ujarnya, ia untuk memaksimumkan semua kapasiti penjagaan kesihatan sedia ada di Malaysia dengan berkesan dan merapatkan jurang yang ada.

“Kami berbesar hati untuk bekerjasama secara strategik dengan Perkeso dalam memastikan kesinambungan penjagaan, terutamanya untuk pesakit yang cedera atau kurang upaya.

“Sejak Jun tahun lalu, kami telah pun menerima pesakit dari Perkeso di Hospital Pakar KPJ Sabah dan baru-baru ini di Hospital Pakar Damansara 2, dan kami berharap dapat menawarkan lebih banyak kemudahan KPJ Healthcare melalui perkongsian strategik ini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya