Kilang baharu Adabi penuhi permintaan produk dalam tin

Kilang baharu Adabi penuhi permintaan produk dalam tin

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAWANG: Adabi Consumer Industries Sdn. Bhd. (Adabi) melebarkan sayap perniagaan mereka menerusi pembukaan kilang baharu berkeluasan kira-kira 1.6 ekar (6,750 meter persegi) terletak di Lot 18, Rawang.

Difahamkan, kilang baharu itu telah memulakan operasinya sejak Jun tahun lalu sebagai langkah pengembangan kilang pengeluaran makanan dalam tin dan sos sedia ada yang terletak di kawasan sama.

Ketua Pegawai Kewangan dan Strategi Kumpulan, Syed Izmal Syed Manshor berkata, pembukaan kilang itu membolehkan pihaknya mengembangkan pengeluaran dan memenuhi keperluan pasaran makanan dalam tin dan sos serta mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih banyak untuk masyarakat.

“Ia merupakan salah satu pelaburan baharu Adabi untuk memenuhi permintaan produk sedia untuk dimakan (ready-to-eat).

“Kilang baharu tersebut mampu menghasilkan lebih 200 peratus keluaran berbanding kilang kami sebelum ini dan ia mampu menampung kapasiti sebanyak 28 hingga 30 tan produk makanan sehari,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di sini.

Sementara itu, Ketua Pengurusan Operasi Adabi, Abdul Hamid Jailani berkata, kilang terbabit mempunyai teknologi yang boleh meningkatkan pengeluaran sebanyak lebih lima kali ganda berbanding kilang lama.

“Kami mempunyai teknologi automasi untuk mengisi makanan dalam tin dan menjaga kualiti makanan tersebut.

“Kami turut mempunyai sistem Vision yang mampu mengesan sekiranya ada tin yang kemek dari segi penglihatan.

“Selain itu, kilang tersebut mempunyai mesin pegimbas xray untuk membolehkan kami mengesan sebarang benda asing yang ada seperti kayu, paku dan sebagainya.

“Teknologi-teknologi ini diperkenalkan di kilang itu bagi memastikan kecekapan, produktiviti dan keselamatan produk terjaga,” katanya.

Antara produk makanan dalam tin keluaran kilang baharu itu termasuk Sardin dalam Sos Tomato, Sardin dalam Sos Tomato dengan Cili, Kari, Kurma, Rendang Ayam/Daging, Kari Kambing, Sambal Ikan Bilis/Kerang/Kupang, Sup Ayam/Daging/Tulang/Kacang dan Kuah Kacang.

Produk Sos pula terdiri daripada Sos Tiram, Sos Cili, Sos Tomato, Sos Makanan Laut dan Sos Korea.

Kesemua produk keluaran Adabi disahkan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), selain kilang baharu mendapat pengiktirafan Hazard Analysis Critical Control Point (HACCP).

HACCP ialah sistem pengurusan keselamatan makanan yang diurus melalui analisis dan kawalan bahaya biologi, kimia dan fizikal daripada pengeluaran bahan mentah, perolehan dan pengendalian serta merupakan piawaian pensijilan yang diperlukan pasaran tempatan mahupun antarabangsa.

Kilang baharu ini juga mempunyai sijil perakuan FSSC, iatu skim pensijilan lengkap untuk Sistem Pengurusan Keselamatan Makanan dan model pensijilan yang digunakan dalam keseluruhan rantaian bekalan makanan untuk memastikan piawaian dan proses keselamatan makanan

Mengulas harga bahan mentah yang kian meningkat, beliau berkata, walaupun produk Adabi sentiasa ditawarkan pada harga yang murah, orang ramai perlu faham kenaikan harga atau kos bukan sahaja berlaku di Malaysia tetapi juga di seluruh dunia.

Jelasnya, faktor-faktor itu terpaksa pertimbangkan pada setiap minggu dengan melihat semula kos daripada pengedar untuk memastikan harga yang ditetapkan itu sesuai dengan kos yang sedia ada.

“Bagaimanapun, komitmen kami disini adalah untuk mengekalkan harga, memastikan produktiviti dan juga output dimaksimumkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya